Saturday, August 28, 2010

Mengejar Pahala atau Angka?

“Awak tarawikh 20 ke 8 rakaat?”, tanya seorang lelaki kepada temannya. “Tentulah 20. Kalau duit kita nak RM20 berbanding RM8, takkan pahala nak yang sedikit pulak?”, balas rakannya sinis. “Baguslah kau Mad. Aku tengok rajin betul kau baca Quran bulan puasa ni”, puji seorang rakan. “Yalah. Aku dah azam untuk khatam sekurang-kurangnya sekali tahun ini”, balas rakannya. “Tahun ni masjid kita sekali lagi berjaya tumbangkan 2 ekor lembu untuk majlis iftar perdana”, ucap seorang pengerusi masjid bangga.


Demikianlah antara ungkapan-ungkapan yang biasa kita dengar di bulan Ramadhan ini. Bulan di mana Allah SWT melipatgandakan pahala amalan wajib sehingga 70 kali dan amalan baik diberi ganjaran seperti amalan wajib. Justeru, jadilah Ramadhan bulan di mana orang-orang beriman ‘berpesta’ ibadat.

Namun, di dalam keghairahan umat Islam berlumba-lumba membuat amal, atau di dalam kata lain memperbanyakkan bilangan atau kuantiti amalan mereka, demi mengejar ganjaran pahala berganda yang dijanjikan Allah SWT, kebanyakan mereka tidak mengambil berat aspek kualiti. Waimma kuantiti penting, kualiti adalah lebih penting. Ibarat seorang mengambil upah mengisi budu ke dalam botol di mana dia akan dibayar mengikut bilangan botol yang diisi. Walaupun dia berjaya mengisi 100 botol dalam sehari, jumlah budu yang tumpah mencecah hampir 10 botol. Di samping itu, ada di antara botol-botol itu tidak diisi dengan penuh seperti yang dikehendaki oleh majikannya. Adakah majikannya akan membayar upah untuk 100 botol?

Profesor Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi di dalam buku beliau, Fiqh Al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan), menulis satu bab khusus membincangkan Keutamaan Kualiti Ke Atas Kuantiti. Beliau membawa beberapa dalil dari Al Quran dan hadith Nabi SAW tentang kepentingan kualiti mengatasi kuantiti, antaranya;

“Tetapi kebanyakan mereka tidak pandai menggunakan akal.” (Al-‘Ankabut, 63)

“Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Al-‘Araf, 187)

“Manusia itu seumpama kelompok unta; ada seratus ekor tetapi tidak ada yang boleh dijadikan tunggangan” (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah Ibn Umar)

Berbalik kepada amalan-amalan yang disebutkan tadi, mari kita muhasabah samada kualiti amalan-amalan yang kita lakukan tersebut menepati kehendak Allah SWT. Pertama solat tarawikh; Adakah kita menjaga rukun-rukun solat di samping melaksanakan yang sunat dan meninggalkan yang makruh. Adakah bacaan Al-Fatihah kita sempurna? Adakah rukuk, iktidal dan sujud kita disertai dengan toma’ninah (berhenti sekejap)? Adakah imam kita membaca Al-Fatihah dengan satu atau dua nafas sahaja? Adakah kita mencapai kusyuk di dalam solat tersebut atau kita tercungap-cungap dan berpeluh-peluh mengejar imam ‘Pos Laju’ tadi? Berkenaan bacaan Al-Quran pula; Adakah kita membaca dengan tartil iaitu dengan menyebut setiap huruf dengan mahkraj yang betul serta menjaga hukum-hukum tajwid? Dan mengenai iftar perdana; Adakah tidak berlaku pembaziran kepada makanan-makanan yang disediakan yakni tidak banyak yang masuk ke dalam tong sampah? Adakah yang hadir iftar turut sama solat Maghrib berjamaah? Adakah para petugas dapat solat Maghrib, Isyak dan tarawikh berjamaah atau mereka sibuk dengan urusan-urusan lain?

Allah SWT mementingkan kualiti ke atas kuantiti. Kualiti bererti menepati apa yang dikehendaki oleh Allah SWT samada dari segi syarat sahnya, rukunnya serta keikhlasan hati. Amalan yang berkualiti akan melahirkan umat yang berkualiti. Dan umat yang berkualiti akan menghasilkan kejayaan dan kemenangan.

Para ulama sirah telah mengisahkan bahawa pada suatu hari Khalifah Umar Ibn al-Khattab r.a dan beberapa orang sahabat sedang berehat di sebuah tempat. Kemudian Khalifah berkata: “Wahai para sahabatku, berangan-anganlah!” Salah seorang sahabat berkata: “Saya berangan-angan ingin memiliki wang dirham (perak) yang dapat memenuhi tempat ini, kemudian wang tersebut saya pergunakan untuk perjuangan di jalan Allah.” Dan sahabat yang kedua juga berangan-angan ingin memiliki wang dinar (emas) yang sebanyak tempat tersebut kemudian dibelanjakan ke jalan Allah. Kemudian Khalifah Umar r.a. berkata: “Saya berangan-angan ingin memiliki orang-orang yang banyak (berkualiti) seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Muadz Ibn Jabal, Salim Mawla, Abu Huzaifah Ibn Yaman, kemudian saya gunakan mereka untuk berjuang di jalan Allah.”

Ketika Khalifah Umar r.a. mengutuskan Amr Ibn al-Ash r.a. untuk membuka Mesir, beliau hanya memberikan empat ribu tentera sahaja kepada Amr r.a. Apabila Amr r.a meminta tentera tambahan, Khalifah Umar r.a. menambah empat ribu tentera lagi berserta empat orang komander. Khalifah Umar r.a.berkata: “Setiap seorang (komander) sebanding (kualitinya) dengan seribu orang tentera, maka bermakna kini bilangan tentera kamu ada dua belas ribu orang! Dan bilangan dua belas ribu orang itu adalah banyak dan tidak boleh dikalahkan.”

Khalifah Umar r.a percaya bahawa yang menjadi ukuran dan pertimbangan adalah kualiti, mutu, ketangkasan dan kecekalan orang-orang yang dikirimkannya bukan semata-mata kerana bilangan dan jumlahnya sahaja. Lantaran di bawah pemerintahan beliau Islam berjaya menakluk dunia termasuk bumi Palestine yang kini dijarah Yahudi laknatullah.

Cetusan Hati
19 Ramadhan, 1431H

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...