Bagi umat Islam yang telah selesai menjalani ibadat puasa di bulan Ramadhan, Eidul Fitri adalah hari Kemenangan. Dan Kemenangan lazimnya datang seiring dengan Kegembiraan. Benarlah sabda Junjungan SAW yang mafhumnya berbunyi:
“Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia merasa gembira dengan puasanya”.
Gembira adalah satu perasaan yang letaknya di hati. Perasaan gembira ini pula akan dizahirkan oleh anggota jasad. Mata akan bersinar. Bibir akan mengukir senyum. Begitulah anggota-anggota badan lain yang akan menzahirkan perasaaan gembira yang dirasai oleh pemiliknya hati yang sedang bergembira itu dengan cara masing-masing.
Namun, bagi orang-orang beriman, kegembiraan menyambut kemenangan di hari Eidul Fitri akan dizahirkan berserta dengan taqwa. Jiwa taqwa yang berjaya dibina dan disuburkan di dalam madrasah Ramadhan. Jiwa taqwa tidak akan meraikan Eidul Fitri dengan unsur-unsur yang terlarang. Sebaliknya Eidul Fitri diraikan dengan amalan-amalan sunnah dan yang digariskan oleh syariat. Hiburan melampau di kaca-kaca TV, pergaulan bebas antara bukan mahram, pendedahan aurat, pembaziran dan perlakuan-perlakuan lain yang melanggar syariat tidak harus menjadi warna-warna kepada Eidul Fitri. Sebaliknya, kemenangan ini patut dirai dengan membesarkan Allah SWT dan Bersyukur (tidak Kufur) kepadaNya sepertimana firmanNya:
"Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu Bersyukur".
(Al-Baqarah, 185)
Jangan dek tersalah cara meraikan kemenangan pertama ini menyebabkan kita gagal untuk merasai kegembiraan ketika meraikan kemenangan yang kedua.
Cetusan Hati
04 Syawwal, 1431H
No comments:
Post a Comment