Friday, October 29, 2010

Antara Bencana dan Kerosakan, Mana Satu Dahulu?

Beberapa hari lepas bumi yang kita huni ini digegarkan lagi oleh Penciptanya.  Kali ini gegaran berlaku di dasar lautan berhampiran kepulauan Mentawai di  Barat Sumatera, Indonesia.  Gegaran pada ukuran 7.7 skala Richter itu juga telah menyebabkan tsunami (ombak besar) pada ketinggian 3 meter membadai pulau tersebut.  Sebahagian besar penghuni pulau tersebut dilaporkan terbunuh dan pulau yang sebelum ini damai dan indah bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. 
Tidak cukup dengan itu, selang 32 jam, gunung Merapi yang berada di pulau Jawa pula telah meletup dan mengeluarkan laharnya.  Kejadian ini telah meragut 30 jiwa termasuk ‘penjaga’ kepada gunung berapi tersebut.
Bencana berganda ini dan beberapa siri bencana lain seperti banjir, ribut taufan dan seumpamanya adalah sebahagian daripada tanda-tanda penghujung usia bumi ini.   Ibarat sebuah enjin kereta yang usang, gegaran yang boleh membawa kepada kebocoran dan pelbagai masalah lain menjadi petanda kepada dekatnya waktu lupus enjin tersebut.  Para saintis mengatakan bahawa bumi  berputar mengelilingi matahari pada kelajuan 5,000 km sejam, iaitu lebih 15 kali ganda kelajuan sebuah kereta Formula Satu.  Pada kelajuan sebegini, dan pada usia selanjut ini, tentu sekali bumi akan mengalami gegaran yang dahsyat.  Lebih-lebih lagi apabila pengimbang-pengimbang kepada bumi ini telah diganggu atau dibuang dari tempatnya yang asal.
“Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu, dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.”  (An-Nahl, 15)
Lazimnya, apabila berlaku suatu kemalangan yang meragut nyawa yang ramai, pelbagai pihak akan tertanya-tanya bagaimana kemalangan tersebut bisa terjadi.  Justeru pasti akan dilakukan siasatan yang terperinci untuk mengenalpasti puncanya.  Tindakan-tindakan yang perlu, samada yang drastik atau tidak, akan diambil untuk menghindarkan daripada berlakunya kemalangan yang sama.  Anehnya, apabila berlaku bencana yang meragut nyawa yang berkali ganda lebih ramai, kebanyakan manusia tidak pula tertanya-tanya akan puncanya.  Mereka akan mengatakan bahawa ianya adalah fenomena alam yang tidak dapat dihindarkan kerana bumi ini sudah dipenghujung usianya.  Justeru tiada apa-apa yang dilakukan untuk menghindarkannya daripada berlaku lagi.
Sebagai manusia yang beriman, kita yakin dan percaya bahawa setiap sesuatu yang berlaku tentu ada hikmah atau pengajaran di sebaliknya.  Di dalam setiap situasi, kita wajar mencari panduan daripada Al Quran dan Hadith Nabi SAW.  Allah SWT berfirman:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”  (Ar-Ruum, 41)
Ibnu Katsier telah mentafsirkan ayat di atas seperti berikut:
Allah SWT berfirman bahawa kerosakan di darat, di kota-kota, di desa-desa dan di laut meliputi pulau-pulau telah nampak sebagai akibat perbuatan dan kelakuan manusia.  Berkata Abul-‘Aaliah: “Barangsiapa menderhakai Allah di muka bumi, maka is telah membuat kerosakan di muka bumi, kerana perbaikan di langit dan di bumi adalah dengan bertaat kepada Allah.”
Manakala di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada ‘Ali bin Abu Talib, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:
1.       Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang  yang tertentu sahaja.
2.       Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).
3.       Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
4.       Apabila suami terlalu mentaati isteri
5.       Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.
6.       Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
7.       Apabila kedengaran banyak bunyi bising.
8.       Apabila lebih ramai berbicara mengenai hal keduniaan di dalam masjid.
9.       Apabila pemimpin sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.
10.   Apabila seseorang dimuliakan kerana takutkan tindakan buruknya.
11.   Apabila arak menjadi minuman biasa.
12.   Apabila lelaki memakai sutera.
13.   Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.
14.   Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.
15.   Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu,

maka pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (puting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi.”

Daripada firman Allah SWT dan hadith Rasulullah SAW di atas, jelas kepada kita bahawa segala bala’ bencana yang berlaku di atas muka bumi samada di daratan atau di lautan yang menimpa manusia adalah berpunca daripada kerosakan, penderhakaan atau maksiat yang dilakukan oleh manusia sendiri.

Setelah mengetahui punca-puncanya, apa dan bagaimanakah pula bentuk tindakan yang perlu dilakukan oleh kita?  Secara mudahnya, setiap diri perlu berusaha untuk menghindari dan menghapuskan segala bentuk maksiat di dalam perkara-perkara Aqidah, Ibadah, Mu’amalah dan Akhlak.  Kembalilah kepada Al Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias yang dipandu oleh para Ulama yang takutkan Allah.

Cetusan Hati
21 Zulkaedah, 1431H

Saturday, October 9, 2010

Bukalah Mata dan Hati....

Saya ada terima email daripada seorang rakan berkenaan kalimah ‘Allah’ yang didapati oleh jemaah sebuah surau pada potongan daging lembu untuk jamuan Hari Raya.  Ramai yang begitu ta’ajub dan teruja bila melihat perkara ini.  Ada juga yang telah menframe gambarnya mungkin untuk dijadikan tatapan anak-cucu dan generasi akan datang.   

Sebenarnya sudah terlalu banyak penemuan-penemuan 'ajaib yang serupa sebelum ini.  Sebahagian daripadanya boleh dilihat di pautan di bawah.
Saya tidak bercadang untuk membuat sebarang komen samada ianya benar-benar kalimah Allah atau tidak.  Pada saya, samada ianya benar-benar sahih kalimah Allah atau sebaliknya, tidak perlu kepada perbincangan dan perdebatan.  Sekiranya ia sahih maka sahihlah ia.  Jika tidak, maka tidak sahihlah ia.  Anda boleh lihat dan buat kesimpulan sendiri.   Jika anda menganggap perkara sebegini sebagai sesuatu yang ‘ajaib yang menandakan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, itu baik bagi anda.  Mudah-mudahan dengan melihat ‘fenomena’ sebegini akan bertambah keimanan kita kepada Allah SWT.
Menjadi lumrah bagi manusia biasa, sebelum mempercayai atau meyakini sesuatu, mereka mahu melihat suatu perkara yang ‘ajaib atau luarbiasa sebagai bukti.  Lantaran itu, para rasul yang ditugaskan untuk menyeru kaum masing-masing untuk beriman kepada Allah SWT telah dikurniakan perkara ‘ajaib atau luarbiasa yang dinamakan mukjizat.  Namun begitu, adakalanya perkara luarbiasa juga tidak cukup untuk menyebabkan seseorang itu beriman.  Rasulullah SAW  sendiri yang telah menunjukkan mukjizat membelah bulan menjadi dua namun tetap ditolak oleh musyrikin Quraisy dan menganggapnya sebagai suatu sihir.
Rasulullah SAW juga telah dikurniakan suatu mukjizat yang paling agung yang tidak pernah diberikan kepada rasul-rasul yang lain.  Mukjizat tersebut tidak lain tidak bukan ialah Al-Quran.  Sahabat Rasulullah SAW yang hebat iaitu Sayyidina Umar Al-Khatab RA, telah melafazkan syahadah hanya setelah membaca ayat-ayat suci Al-Quran daripada surah Taha.  Begitu juga dengan makhluk Jin yang beriman setelah mendengar Al-Quran sepertimana terakam di dalam surah Al-Jinn, ayat 1-2.   Diceritakan bahawa Fudhail Bin ‘Iyad telah berubah dari seorang yang suka berpoya-poya kepada seorang ulama besar setelah mendengar ayat 16 daripada surah Al-Hadid.  Di zaman kita ini pula, ramai daripada kalangan orang kafir dan athies yang telah beriman juga melalui mukjizat Al-Quran.  Seorang pakar kulit berbangsa Jepun bernama Tagata Tajasen telah mengucapkan syahadah setelah mendengar ayat 56 daripada surah An-Nisaa’ (ikuti kisahnya di sini)


Kisah pengIslaman seorang Athies bernama Ruben (nama Islamnya Abu Bakr) sangat menyentuh dan wajar diambil iktibar.  Beliau yang sebelum itu telah mengkaji dan mengakui kebenaran Al-Quran hanya menunggu satu tolakan terakhir untuk mengucapkan syahadah.  Pada suatu malam beliau telah memencilkan diri sambil memohon ditunjukkan suatu perkara yang 'ajaib atau luarbiasa.  Setelah menunggu dengan hampa kerana tiada sebarang ke'ajaiban yang berlaku, beliau membelek Al-Quran yang berada di tangan beliau dan dengan kebesaran Allah SWT, beliau sampai kepada ayat 164 daripada surah Al-Baqarah yang berbunyi:

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanafaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran."

SubhanAllah!  Beliau telah mendapat petunjuk akhir yang dicari, bukan melalui suatu fenomena 'ajaib tetapi sepotong ayat Al -Quran yang begitu mendalam maksudnya. (ikuti cerita beliau di sini)
Daripada kisah-kisah di atas, jelaslah bahawa Al-Quran adalah satu mukjizat yang agung dan petunjuk yang benar.  Manusia tidak perlu lagi mencari petunjuk-petunjuk lain berupa perkara-perkara a'jaib dan luarbiasa.  Memadailah dengan Al-Quran.  Al-Quran bisa merubah seseorang daripada fasiq kepada soleh dan daripada kufur kepada iman.  Al-Quran juga bisa menambah atau menguatkan iman seseorang yang sudah beriman seperti kita.  Al-Quran mengajak kita untuk melihat alam yang terbentang luas dihadapan kita sambil memikirkan kebesaran dan kekuasaan penciptanya iaitu Allah SWT. 

Imam As-Syahid Hasan Al-Banna menyatakan di dalam buku beliau “Keagungan Al-Quran”, topik alam dibicarakan di setiap surah di dalam Al-Quran dari sudut keindahan, keajaiban dan hal-hal yang berkaitan dengannya.  Beliau seterusnya menyatakan, sesungguhnya hakikatnya alam ini adalah Allah.  Sebab fitrah ketuhanan berada di dalam dirinya (alam).  Dia-lah penciptanya dan Dia-lah yang menciptakan agama-agama yang dibawa para Rasul agar manusia dapat mengenal-Nya.  Untuk mengenal pencipta, maka Allah memerintahkan agar manusia memerhatikan langit dan bumi, “Katakanlah: Perhatikanlah Langit dan Bumi.”
Justeru, pandanglah langit dan bumi dan hayatilah firman Allah yang berikut:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;  (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”. (A-li-‘Imraan, 190-191)
Kemudian fikirkan yang berikut:
Tidakkah mereka memperhatikan langit di atas mereka, bagaimana kami membuat dan menghiasinya (dengan bintang-bintang), dengan tidak ada padanya retak-renggang? (Qaf, 6)
Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas ‘Arasy.   (Ar-Ra’d, 2)
Pandang pula kepada matahari dan bulan serta fikirkan:
Dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya); tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan.. (Ar-Ra’d, 2)
Ketika memakan buah durian, duku, dokong, rambutan dan lainnya, fikirkan:
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (korma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya).  Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.  (Ar-Ra’d, 4)

Begitulah seterusnya di dalam banyak ayat, Allah SWT menerangkan cara untuk manusia memikirkan tentang kekuasaan dan kebesaranNya.  Bukan hanya melalui jalan melihat perkara tersurat dengan mata lendir, tetapi memikirkan yang tersirat dengan akal atau mata hati.  Akhir kalam, hayatilah nasyid berikut:
video
                                       
Cetusan Hati
29 Syawwal, 1431H



Friday, October 1, 2010

Anda Ingin Jadi Seorang Pendakwah? Anda Perlu Tahu ini….

Anda mungkin pernah diziarahi satu jemaah yang mengajak anda untuk menyertai majlis fikir mereka yang lazimnya dilakukan di masjid atau surau.  Di dalam majlis fikir tersebut, mereka akan memberitahu anda kepentingan berfikir di atas iman dan amal.  Begitu juga kepentingan untuk mengajak orang lain untuk turut sama berfikir seperti itu.  Dalam erti kata kain, mereka mengajak anda untuk melakukan kerja dakwah.  Mereka akan berhujah bahawa kerja dakwah ini adalah kerja para Nabi dan merupakan Sunnah yang dituntut sebagaimana hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sampaikanlah daripadaKu walaupun sepotong ayat”.  Kata mereka lagi, jika kita tak buat kerja Nabi, macamana kita nak dapat syafaat daripada Baginda SAW.

Seorang pendakwah yang agak terkenal, yang aktif berceramah di masjid dan surau di seluruh negara, yang juga merupakan seorang bekas penganut Hindu, telah mengatakan bahawa setiap orang Islam yang tidak berdakwah (menyeru) orang bukan Islam untuk memeluk Islam adalah kejam.  Beliau mengibaratkan seorang lelaki yang nampak seorang anak kecil yang bermain di tepi jurang yang tinggi tetapi tidak menghulurkan tangan untuk menyelamatkannya menyebabkan budak tersebut jatuh ke dalam gaung dan mati.  Beliau juga mengatakan, orang-orang bukan Islam yang tidak didakwah ini akan mendakwa orang Islam tersebut di akhirat nanti menyebabkan dia juga terheret bersama mereka ke dalam neraka, na’uzubillah.

Ramai dari kalangan kita yang merasakan bahawa kerja dakwah ini hanya layak dilakukan oleh para ulama, ustaz, imam masjid dan mereka yang seumpamanya.  Namun setelah mendengar dan berfikir tentang dua ajakan seperti di atas, kita akan dihimpit dilema samada mahu kekal berada di dalam zon selesa atau terpaksa turut menjadi seorang pendakwah.  Sebelum anda bertekad untuk terjun ke medan dakwah ini, anda perlu terlebih dahulu bertanya kepada diri apakah anda benar-benar sudah ‘bersedia’ dan mampu untuk melakukannya.  Jika anda merasakan bahawa anda tidak perlukan apa-apa persediaan khusus, anda silap besar! 

Kerja dakwah adalah suatu kerja yang paling besar dan paling penting.  Kerja dakwah adalah untuk mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT dan beramal dengan Syari’atNya.  Hanya apabila seorang manusia itu telah benar aqidahnya dan diterima amalannya oleh Allah SWT, dia akan terselamat daripada azab NerakaNya.

Golongan manusia pertama yang dibebankan dengan kerja terbesar dan terpenting ini adalah para Rasul ‘Alaihissalam.  Sebagaimana kerja besar dan penting yang lain, kerja dakwah ini bukanlah suatu kerja yang mudah.  Allah SWT telah merakamkan di dalam Al-Quran kisah-kisah menceritakan cabaran dan tribulasi yang dihadapi oleh para Rasul tersebut di dalam melaksanakan tugas dakwah mereka.  Para Rasul bukan sahaja diejek dan diusir malah ada di antara mereka yang dibunuh dengan kejam oleh kaum mereka.   

Sepertimana kerja dakwah yang dilakukan para Rasul, kerja dakwah harini juga menghadapi cabaran dan tribulasi yang hampir sama.  Jika untuk menjayakan kerja dakwah mereka, para Rasul telah menjalani proses tarbiyah yang cukup oleh Allah SWT, para pendakwah harini juga perlu menjalani suatu proses tarbiyah yang sama.  Seorang yang ingin membuat kerja ‘direct selling’ untuk menjual suatu produk perlu  menghadiri kursus-kursus tertentu.  Begitu juga seorang anggota pasukan Bomba dan Penyelamat yang kerjanya menyelamatkan manusia yang kebakaran atau kemalangan perlu menjalani latihan yang tertentu.  Kursus dan latihan itu juga disebut tarbiyah.  Bayangkan apa akan terjadi bila seorang penjual ‘direct selling’ itu tidak diajar dan dilatih untuk menjalankan kerja tersebut.  Dia mungkin tidak mampu mendapat jumlah jualan yang diharapkan.  Lebih malang lagi, dia mungkin diusir malah dipukul oleh pelanggan.  Bagi seorang anggota Bomba yang tidak memiliki ilmu dan kemahiran pula, dia tidak akan berjaya menyelamatkan mangsa.  Lebih menyedihkan jika dia sendiri mungkin terkorban ketika cuba menyelamatkan mangsa.  Justeru, jika nak buat kerja ‘direct selling’ dan kerja menyelamat perlu kepada ‘tarbiyah’, kerja dakwah lebih-lebih lagi.

Ulama telah menetapkan beberapa rukun kepada dakwah.  Di antara rukun dakwah tersebut adalah al-Dai' atau pendakwah itu sendiri.  Seorang da’i mesti mempunyai ciri-ciri berikut:
a) Ilmu sebelum berdakwah
b) Niat yang ikhlas.
c) Baik tingkah laku. 
d) Berhikmah ketika berdakwah
e) Bersabar selepas berdakwah
f) Bersemangat juang dan berkorban. 

Satu lagi rukun dakwah adalah Uslub atau cara dakwah.  Uslub tidak hanya melalui kaedah lisan sahaja.  Bahkan uslub dakwah sangat luas dan tiada batas lebih-lebih lagi di era kecanggihan ICT ini.  Terbukti melalui sirah Rasulullah SAW bahawa seorang Yahudi buta yang sering menyakiti Baginda telah memeluk Islam disebabkan cara Baginda memberi layanan terhadap si Yahudi tersebut.  Dan di dalam peristiwa pembukaan kota Makkah, ramai penduduk Makkah telah masuk Islam juga disebabkan akhlak Rasulullah dan keadilan Islam yang dilaksanakan oleh Baginda.   
Kesimpulannya, marilah kita menyedari kewajiban kerja dakwah ini.  Setiap dari kita wajib melakukan kerja-kerja dakwah, menurut kemampuan masing-masing.  Jika kita seorang pengurus, kita mungkin mampu berdakwah kepada pekerja bawahan kita.  Jika kita seorang guru, kita mungkin mampu mendakwah anak-anak murid kita.  Paling kurang, sebagai ibu dan bapa, kita tentu sekali mampu mendakwah anak-anak kita. 

Kita juga perlu menyedari bahawa oleh kerana kerja dakwah ini sangat penting, ianya tidak wajar dilakukan secara semborono atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.  Ulama telah menggariskan beberapa syarat dan rukun dakwah yang perlu dipatuhi.  Jika solat yang merupakan perkara terpenting itu ada syarat dan rukun, dakwah pun sama.  Sama seperti solat, jika tak cukup syarat dan rukunnya, dakwah jadi tak sah.  Di samping itu, dakwah perlu kepada kepakaran, sistem yang teratur, strategi yang bersesuaian, perancangan yang teliti dan seumpamanya.  Kalau tidak kerja dakwah tidak akan mendatangkan natijah yang baik.  Lebih-lebih lagi untuk menyeru orang bukan Islam kepada Islam.  Bukan semua orang mampu untuk berdakwah kepada non-muslim sepertimana bukan semua orang boleh jadi salesman yang baik.  Silap gaya bukan setakat tak boleh jual produk, orang tadi dah jadi phobia pula dengan produk tersebut sehingga apabila datang jurujual lain, dia akan tolak mentah-mentah. 

Oleh kerana kemampuan kita untuk berdakwah secara bersendirian agak terbatas, kita boleh melakukannya secara berkumpulan atau berjamaah.  Dalil tentang dakwah secara berpuak atau berjamaah ini adalah firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 104:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Menurut Tafsir al-Jalalain, kalimah ‘al-khair’ (kebajikan) yang disebut dalam ayat ini bermaksud Islam. Dalam hadis pula, Rasulullah s.a.w. menerangkan ‘al-khair’ yang tersebut dalam ayat ini adalah ‘menurut ajaran al-Quran dan sunnahku’.

Justeru, sertailah organisasi atau jemaah yang meletakkan dakwah sebagai satu agenda yang utama. Organisasi atau jemaah tersebut juga mestilah memiliki ciri yang menepati rukuh-rukun dakwah yang digariskan oleh ulama.  Di negara kita, antara jemaah yang menepati ciri-ciri tersebut adalah Parti Islam SeMalaysia (PAS).  PAS bukan sebuah parti politik semata-mata seperti tanggapan sesetengah pihak, tetapi PAS adalah sebuah pertubuhan yang menggunakan politik sebagai satu wasilah kepada dakwah.  Ini dijelaskan di dalam Fasal 6, perkara 1 perlembagaan PAS:

Menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

WAllahua’lam.

Cetusan Hati
23 Syawwal, 1431H
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...