Friday, September 2, 2011

Epilog Ramadhan 1432H

Ramadhan 1432H telah berlalu pergi bersama berbagai emosi.  Ada yang sedih kerana tiada lagi ganjaran pahala berganda.  Ada yang kesal kerana kurangnya amalan kebajikan yang telah dilakukan.  Malah ada juga yang gembira kerana sudah kembali bebas untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang pada siang hari Ramadhan. 
Ramadhan adalah makhluk Allah bernama masa.  Suka atau duka, Ramadhan yang tadinya datang tetap pergi dan tidak akan kembali.  Jikapun ia datang di tahun hadapan, tiada diketahui samada kita akan menjadi tetamunya lagi.  Sepertimana Ramadhan, kita juga makhluk Allah yang pasti pergi.  Justeru, selagi ada hayat, yang perlu dilakukan ialah menghidupkan roh Ramadhan di dalam diri agar menjadi hamba Allah yang diredhai. 
Menurut para ulama, Ramadhan adalah madrasah atau universiti yang bermatlamatkan TAQWA berdalilkan firman Allah S.W.T,
“Wahai orang-orang yang beriman!  Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang dahulu daripada kamu, supaya kamu berTAQWA.”  (Al-Baqarah 183)
Apakah yang dimaksudkan dengan TAQWA?
Menurut Ibnu Abbas R.A, mukmin yang berTAQWA ialah mukmin yang berhati-hati dari syirik, menjauhi syirik dan melakukan taat.
Al-Hasan al-Basri berkata, “Takut dan menghindari apa yang diharamkan Allah dan menunaikan apa yang diwajibkan oleh Allah.  Berwaspada dengan menjaga benar-benar perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Ketika Sayyidina Umar al-Khatthab R.A bertanya kepada Ubay bin Ka’ab tentang TAQWA, Ubay bertanya kembali,
“Apakah tuan tidak pernah berjalan di tempat yang penuh dengan duri?
Jawab Umar, “Ya.”
Ubay bertanya lagi, “Lalu tuan berbuat apa?”
Jawab Umar, “Aku sangat waspada dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri-duri itu.”
Lalu jawab Ubay, “Itulah TAQWA.”
Ibnul Mu’tazz berkata, “Tinggalkan semua dosa yang kecil mahupun yang besar, itulah TAQWA.  Dan berbuatlah seperti orang yang berjalan di tanah yang penuh duri, selalu waspada dari apa yang dilihatnya.  Jangan meremehkan dosa kecil.  Ingatlah gunung yang besar tersusun dari batu-batu kerikil yang kecil. ”
Athiyah as-Sa’di mengatakan, Rasulullah S.A.W bersabda,
“Seorang hamba tidak dapat mencapai darjat TAQWA sehingga dia meninggalkan apa yang tidak berdosa semata-mata kerana khawatir terjerumus dalam dosa.”  (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah – Hasan Gharib)
Seseorang yang ingin menjadi seorang jurutera perlu menjalani kursus di dalam bidang kejuruteraan di universiti yang diiktiraf.  Setelah selesai kursus selama 4-5 tahun, dia akan diberikan segulung ijazah sebagai tanda dia sudah selesai menjalani latihan untuk menjadi seorang jurutera.  Dengan memiliki ijazah kejuruteraan tersebut dia kini layak digelar seorang jurutera pelatih.  Untuk menjadi seorang jurutera bertauliah, dia perlu membuktikan di luar universiti bahawa dia mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat dan menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dan selesa.   
Demikian juga dengan universiti Ramadhan.  Setelah selesai sebulan, seorang mukmin akan keluar daripadanya dengan ijazah TAQWA.  Namun ijazah tersebut belum tentu meletakkan dia ke darjat TAQWA atau menjadikan dia seorang Muttaqin.  Dia perlu membuktikan kemampuan menjadi seorang hamba Allah yang melaksanakan semua perintahNya.  Dia juga akan sentiasa berwaspada di dalam setiap tindak-tanduknya agar tidak terjerumus ke dalam perkara maksiat dan dosa. 
Justeru, Ramadhan hanyalah suatu kursus pendek (intensive course) untuk menjadikan kita seorang yang berTAQWA.  Medan kita yang sebenar bermula dari Syawwal hinggalah ke saat Izrail mencabut nyawa daripada badan.  Jika di dalam Ramadhan kita telah dengan tekun menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan, kita wajib meneruskannya di luar Ramadhan.  Jika di dalam Ramadhan kita rajin melakukan amalan-amalan sunat seperti solat tarawikh, bersedekah, membaca Al Quran, solat berjamaah di masjid dan surau, qiamullail dan lain-lain, kita perlu meneruskan amalan-amalan tersebut di luar Ramadhan.  Jika di dalam Ramadhan kita mampu mengekang hawa nafsu dan tidak menyembah syaitan yang menjadi musuh kita, kita juga mampu melakukannya di luar Ramadhan.  Jika tidak, kita hanya layak dipanggil  MUTTAQIN PELATIH. 
Andai Syawwal kita tidak seghairah Ramadhan, perlu disemak kembali amalan-amalan yang telah dilakukan.  Apakah telah kita lakukan berlandaskan ilmu yang sahih dan niat yang ikhlas atau sekadar ikut-ikutan sahaja.
Untuk menjadi seorang jurutera yang baik, banyak cabang-cabang ilmu berkaitan kejuruteraan yang perlu dipelajari.  Amat malang bila ramai yang berfikir untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik, tidak perlu belajar ilmu berkaitan dengan agama. Solat tak perlu belajar, puasa tak perlu belajar, haji tak perlu belajar, baca Al Quran tak perlu belajar.   Berkata imam Al-Ghazali,
 “Ilmu tanpa Amal itu Gila, Amal tanpa Ilmu itu Sia-sia.”   
Sabda Rasulullah S.A.W,
“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama.”
Mungkinkah seseorang akan menjadi baik tanpa memiliki kefahaman agama dan mungkinkah ada kefahaman tanpa belajar? 


Benar Ramadhan telah pergi
Namun Masjid-masjid masih tegak untuk dimakmuri

Al Quran masih terbuka untuk dibaca dan diteladani
Fakir, miskin dan yatim masih menadah tangan untuk disantuni
Malam-malam masih sunyi untuk didiri
Dan Tuhanmu masih menanti untuk mengampuni



Cetusan Hati
04 Syawwal, 1432H.

Saturday, July 9, 2011

Yang Batil Pasti Lenyap

Pertembungan di antara yang Hak (Benar) dan Batil (Salah) telah menjadi sunnatullah sejak awal kehadiran manusia di atas muka bumi ini.  Bertitik tolak dari kisah Qabil dan Habil, berterusan dengan siri-siri pertembungan di antara para Rasul 'alaihimussalam dengan penentang-penentang mereka, sehinggalah ke akhir hayat dunia ini.  Allah S.W.T telah mentakdirkan bahawa golongan yang menentang para Rasul yang membawa kebenaran itu adalah golongan yang berkuasa.  Nabi Ibrahim A.S ditentang oleh sang raja Namrud, nabi Musa A.S oleh sang Firaun dan Nabi Muhammad S.A.W oleh para pembesar Quraisy.

Hakikat ini juga sedang berlaku di hadapan mata kita.  Sang penguasa yang sudah sekian lama memegang tampuk kuasa di atas dasar kebatilan, berdarah dagingkan kebatilan dan meneruskan agenda-agenda kebatilan.  Mereka dengan angkuh dan rakus menekan dan menindas golongan yang menentang mereka.  Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kebatilan yang mereka pertahankan. Hari ini mereka pedihkan kulit, mata dan hati kita.  Mungkin esok mereka akan menumpahkan darah-darah kita.  Mereka melakukan apa yang mereka lakukan bukan kerana warna baju yang kita pakai, tetapi kerana unggun kebenaran yang telah kita nyalakan.  Unggun yang pasti akan membakar kebatilan yang mereka pertahankan.  Unggun ini juga bakal menerangi bumi tercinta kita ini dengan keadilan dan kebajikan. 

Wahai para pejuang kebenaran!  Kerana kecintaan dan kebencian kita telah leraikan rantai ketakutan dan kita rempuh tembok-tembok kezaliman.  Tiada lagi ketakutan selepas hari ini.  Dan Allah tuhan semesta alam ada bersama-sama dengan kita.  Dia sedang memerhatikan kezaliman yang mereka lakukan dengan seluruh kekuasaan mereka.  Yakin dan bergembiralah dengan janjiNya.  Katakan kepada mereka,

"Telah datang kebenaran, dan hilang lenyaplah yang batil; sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap."  (al-Israa', 81)

Cetusan Hati
07 Syaaban, 1432
bersamaan 09 Julai, 2011.

Friday, April 15, 2011

Apa Kata Isteri Kita?

Kata orang, “Jika anda ingin mengetahui sifat sebenar seorang lelaki, tanyalah kepada isterinya.”

Telah diriwayatkan daripada A’isyah R.A,

“Sebelas perempuan sedang duduk bersama dan saling bercerita.  Mereka sepakat untuk tidak menyembunyikan apa pun tentang suami mereka.

Perempuan pertama berkata, ‘Suami saya seperti daging unta yang kurus yang berada di puncak gunung (angkuh).  Sulit dijangkau (bakhil dan tidak suka berbuat baik).  Tidak ada jalan datar untuk sampai ke sana (berperangai buruk).  Tidak ada pula lemak yang bisa diambil daripadanya (tidak ada kebaikan yang bisa dimanafaatkan oleh orang daripadanya).’

Perempuan kedua berkata, ‘Saya tidak bisa bercerita tentang suami saya.  Terlalu banyak hal yang harus saya sebutkan.  Jika saya menyebutkannya, maka hanya kekurangan dan keburukan yang bisa saya sebutkan.’

Perempuan ketiga berkata, ‘Cerita tentang suami saya sangat panjang (dan menyampaikannya tidak berguna).  Jika saya mengungkapkan keburukannya, maka saya akan dicerai; dan jika saya diam saja, maka akan diabaikan (seolah-olah saya bukan isterinya).’

Perempuan keempat berkata, ‘Suami saya seperti suasana malam di Tihamah (dataran rendah di antara pantai dan gunung); tidak panas dan tidak dingin; tidak menakutkan dan tidak membosankan.’

Perempuan kelima berkata, ‘Di dalam rumah suami saya tidur dan lalai macam macan (harimau).  Di luar rumah (di antara orangramai atau di dalam peperangan) suami saya gagah berani seperti singa.  Ia tidak pernah bertanya tentang apa pun yang telah ia berikan (harta benda, nafkah atau peralatan rumah tangga.)’

Perempuan keenam berkata, ‘Suami saya telah menghabiskan makanan dan minuman tanpa sisa.  Ia tidur dengan bajunya (menyendiri dan tidak menggauli isterinya).  Ia tidak pernah memberikan perhatian untuk mengetahui keadaan atau kesedihan isterinya.’

Perempuan ketujuh berkata, ‘Suami saya impoten (lemah) dan bodoh.  Setiap penyakit manusia ada pada dirinya.  Ia dapat melukai kepalamu atau mematahkan tulangmu, atau bahkan kedua-duanya.’

Perempuan kelapan berkata, ‘Sentuhan suami saya selembut sentuhan kelinci (arnab).  Aroma tubuhnya seharum zarnab (sejenis wangian).’

Perempuan kesembilan berkata, ‘Suami saya seperti tiang yang tinggi (mulia).  Banyak abu sisa memasak di rumahnya (didatangi oleh ramai tetamu dan memberi makan kepada mereka).  Ia memiliki tali pedang yang panjang (kerana postur tubuhnya yang tinggi).  Rumahnya pun berdekatan dengan tempat orangramai berkumpul (selalu dikunjungi).’

Perempuan kesepuluh berkata, ‘Suami saya adalah penguasa.  Penguasa seperti apa?  Penguasa yang lebih baik daripada apa yang bisa saya ceritakan.  Ia memiliki unta-unta yang banyak di tempat binatang-binatang itu mendekam (tinggal).  Hanya sedikit unta-untanya yang dilepas (untuk merumput).  Jika unta-unta itu mendengar alat musik berbunyi, mereka tahu bahawa sebentar lagi mereka akan disembelih (untuk dihidangkan kepada para tetamu).’

Perempuan kesebelas berkata, ‘Suami saya adalah Abu Zar’in.  Dia adalah orang yang memberikan perhiasan kepada kedua telinga saya, menjadikan saya gemuk dan membuat saya senang.  Dari keluarga pengembala kambing di sudut gunung (keluarga yang miskin), ia mengangkat saya menjadi sebahagian daripada keluarga pemilik unta dan kuda, keluarga pemilik tanah yang menikmati hasil panen (tanaman).  Setiap kali saya berbicara kepadanya, ia tidak pernah mengejek saya.  Tidur saya pun tidak pernah terganggu (kerana ia telah memiliki pembantu yang mencukupi keperluanku).  Saya bisa minum hingga puas dan kenyang.

Kemudian ibu mertua saya.  Dia memiliki peralatan rumahtangga yang banyak dan rumah yag lapang.

Lalu anak laki-laki kami.  Dia adalah anak laki-laki yang ramping seperti tangkai kurma terjulur dan akan merasa kenyang hanya dengan memakan sepotong kaki kambing (sedikit makannya).

Kemudian anak perempuan kami.  Dia adalah anak perempuan yang selalu mematuhi kedua orang tuanya, tubuhnya padat berisi, serta selalu membuat iri teman-temannya (keran keelokan wajah dan keluhuran budi pekertinya.)

Lalu pelayan rumah kami.  Dia adalah pelayan yang pandai menyimpan rahsia, yang pandai menjaga amanah, yang tidak pernah membiarkan rumah kami kotor dan tidak terurus.

Suatu hari, Abu Zar’in suamiku, keluar rumah.  Waktu itu adalah masa ketika susu dijadikan mentega.  Dia bertemu dengan seorang perempuan yang mempunyai belakang yang montok, dan ia ditemani oleh dua orang anaknya yang lincah seperti dua ekor anak macan.  Maka suamiku menceraikanku dan menikahi perempuan itu.  Setelah itu, aku menikah lagi dengan seorang lelaki yang mulia lagi dermawan.  Binatang tunggangannya adalah seekor kuda yang kuat dan tidak kenal lelah.  Ia memiliki tombak yang dibuat di Khathth (sebuah daerah pesisir di antara Oman dan Bahrain).  Saya diajak olehnya untuk melihat binatang ternakannya yang banyak, lalu ia memberi saya sepasang daripada setiap binatang itu.  Ia berkata kepada saya, ‘Makanlah, wahai ummu Zar’in.  Dan berikanlah sebagai hadiah untuk keluargamu.’  Jika saya gabungkan segala sesuatu yang pernah dia berikan, maka semua itu tidak akan bererti apa-apa dibandingkan dengan bejana paling kecil yang dimiliki oleh Abu Zar’in.’

Lalu A’isyah R.a berkata,

‘Kemudian Rasulullah S.A.W berkata kepadaku, ‘Aku bagimu sama seperti Abu Zar’in bagi Ummu Zar’in.’”

(Riwayat At-Tirmidzi, Bukhari dan Muslim, daripada bab 38 Kitab Syamail Rasulullah S.A.W)

Berpandukan kepada riwayat di atas, mari kita lakukan sedikit muhasabah.  Apakah yang akan diperkatakan oleh isteri kita tentang kita?  Adakah dia akan kata kita seorang suami yang begitu merendah diri dengan manusia lain tetapi begitu angkuh dan ego dengan isteri sendiri?  Terlalu pemurah dengan manusia lain tetapi terlalu bakhil dan berkira-kira dengan isteri?  Terlalu peramah dan hangat ketika berhadapan dengan manusia lain tetapi tersangat kaku dan dingin terhadap isteri?  Terlalu mengambil berat tentang manusia lain tetapi tidak ambil peduli tentang isteri?  Terlalu berlemah-lembut terhadap manusia lain tetapi tersangat keras terhadap isteri?  Terlalu memuliakan manusia lain tetapi tidak memuliakan isteri yang memuliakan kita?  Adakah setelah ketiadaan kita, isteri kita akan terkenang-kenang dan menyebut-nyebut kebaikan kita sepertimana manusia lain mengenang dan menyebut kebaikan kita kepada mereka?  Jika inginkan jawapan yang pasti, tanyalah isteri kita!


Daripada Ibnu Abbas R.A, Nabi S.A.W bersabda, "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya, dan aku (Nabi S.A.W) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteri ku."  (Sahih Ibnu Majah)

Dan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, "Seorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik budi pekertinya, dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada isterinya." (Hadith Sahih riwayat At-Tirmidzi)

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”  (Ar-Ruum-21)


Cetusan Hati
12 Jamadil Awwal, 1432H

Friday, February 18, 2011

Cinta Yang Berbalas?


“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.A.W), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”  (At-Taubah, 128)

Ummul mukminin A’isyah R.A berkata, Tatkala saya melihat Nabi S.A.W berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.”

Rasulullah S.A.W pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa A’isyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.”

Mendengarnya, A’isyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?”

A’isyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?”

Rasulullah S.A.W bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”

Abu Hurairah R.A pula meriwayatkan, bahawa Nabi S.A.W bersabda, “Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat.”

Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah S.A.W membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim A.S:

“Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat).” (Ibrahim: 36)

Kemudian Baginda S.A.W membaca pula perkataan Nabi Isa A.S:  

“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”  (al-Maidah: 118)

Setelah itu, Nabi S.A.W mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis:

“Ya Allah! Umatku! Umatku!

Lalu Allah berfirman kepada Jibril A.S, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.”

Maka Jibril A.S  menemui Nabi S.A.W, lalu bertanya kepada Baginda S.A.W dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril A.S sebab tangisannya.  Maka Allah berfirman kepada Jibril A.S,

“Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya:  Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau redha pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.”

Demikianlah bukti-bukti cinta dan kasihnya seorang Rasul kepada umatnya.  Tidak ada suatu saat yang berlalu di dalam kehidupan junjungan S.A.W tanpa baginda memikirkan tentang umat.  Hatta ketika berada di ambang kematian yang penuh dengan kesakitan dan kepedihan, nasib umat yang akan ditinggalkan juga yang dirisaukan baginda.

Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda kepada Jibril A.S ketika hampir wafat: “Bagaimana nasib umatku sepeninggalanku nanti?”

Lantas Allah S.W.T telah memberikan wahyu kepada Jibril A.S, “Berikan khabar gembira kepada kekasihKu (Muhammad S.A.W), sesungguhnya Aku tidak akan membiarkan umatnya.  Beritahunya juga bahawa dia adalah orang yang pertama sekali dibangkitkan dari kubur.  Dia akan menjadi pemimpin ketika semuanya berkumpul.  Sesungguhnya syurga haram (dimasuki) umat-umat lain sehingga umatnya masuk ke dalamnya.”

Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda, “Sekarang aku baru merasa lega.”

Cinta dan kasih sayang Rasulullah kepada para sahabat Baginda dan umat tiada tolok bandingannya.  Para sahabat R.A yang hidup bersama-sama dengan Baginda dapat mengecapi cinta Rasulullah S.A.W dan mereka telah membalas cinta itu dengan menjadikan harta dan jiwa raga mereka sebagai maharnya .

Telah diriwayatkan bahawa pada suatu hari, Abu Bakar as-Siddiq R.A berkhutbah di hadapan penduduk Makkah dan menyeru mereka memeluk Islam.  Seperti yang dijangkakan, seruan Abu Bakar R.A itu telah membangkitkan kemarahan pemuka-pemuka Quraisy yang amat benci kepada seruan sebegitu.  Lantaran mereka telah menarik pakaianya serta memukulnya sehingga pengsan.  Apabila telah sedar beliau lantas berkata, “Perlihatkanlah Muhammad kepadaku.”  Apabila ibunya datang bersama Baginda S.A.W di Dar al-Arqam, Abu Bakar berkata, “Wahai Rasulullah, semua penderitaan yang aku alami telah hilang dengan melihatmu.”

Imam Bukhari telah meriwayatkan di dalam peperangan Uhud orangramai telah lari meninggalkan Rasulullah S.A.W kecuali Abu Talhah yang telah menjadikan dirinya sebagai perisai untuk melindungi tubuh Rasulullah S.A.W  daripada terkena tikaman kafir Quraisy.  Di dalam keadaan tersebut Rasulullah S.A.W melihat kepada khalayak ramai yang sedang berperang.  Maka Abu Talhah telah berkata, “Sesungguhnya engkaulah ibu dan bapa bagiku.  Tak usahlah tuan hamba melihat nanti akan terkena panahan musuh.  Biar saja kena leherku bukan leher tuan hamba.”

Demikian juga dengan sahabat-sahabat yang lain seperti Abu Dajanah, Ziad bin al-Sakan, Imarah bin Yazid bin al-Sakan yang berlumba-lumba untuk menjadikan diri mereka perisai untuk melindungi batang tubuh Rasulullah S.A.W yang mulia sehingga ada yang gugur syahid terkena panahan musuh.

Para sahabat R.A telah membalas cinta Rasulullah S.A.W kepada mereka dengan linangan darah dan airmata.   Mereka telah mencapai kesempurnaan iman sepertimana sabda Baginda S.A.W,

“Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia.”

Bagaimana pula dengan kita?  Tentu sekali sukar bagi kita yang  tidak pernah bertemu Baginda S.A.W.  sedang kita juga berada jauh di akhir zaman.  Rasulullah S.A.W pernah bersabda,
“Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku.  Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku.”


Para ulama telah memberikan panduan, antara perkara yang boleh dilakukan oleh kita sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada Rasulullah S.A.W ialah :

·    Mentaati Baginda S.A.W dengan mengikut segala jejak langkah perjalanan hidupnya dalam urusan agama dan dunia
·   Cinta kepada orang yang dicintai oleh Baginda S.A.W dan benci kepada orang yang dibenci oleh Baginda
·    Redha dengan apa yang diredhai oleh Baginda S.A.W dan marah kepada apa yang dimarahi oleh Baginda
·    Menjunjung tinggi Baginda Nabi S.A.W dengan berselawat kepadanya apabila disebut namanya serta mengagungkan segala sifat dan akhlaknya
·    Membenarkan segala apa yang diberitakan oleh Baginda S.A.W samada daripada urusan agama atau dunia
·    Menghidupkan sunnah Baginda S.A.W, menzahirkan syariatnya serta menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan segala pesanan Baginda S.A.W
·    Merendahkan suara ketika berada di sisi maqam Baginda S.A.W dan di dalam masjid Nabawi bagi yang berkesempatan ke sana
·    Cinta kepada ulama dan orang soleh serta setia kepada mereka semata-mata kerana Baginda S.A.W cinta kepada golongan tersebut.
·    Kita juga mesti benci kepada orang fasik serta memusuhi mereka dengan sebab Baginda S.A.W benci dan memusuhi golongan ini

Junjungan Rasulullah S.A.W telah bersabda,  “Seseorang itu bersama orang yang Ia cintai.”

Dan di antara pesanan-pesanan terakhir Rasulullah S.A.W sebelum Baginda wafat meninggalkan umat yang amat Baginda kasihi,

“Ingatlah! Sesungguhnya aku telah mendahului kalian.  Dan kalian semua akan menyusuli aku.  Ingatlah, tempat perjanjian kita adalah di telaga.  Sebuah telaga yang lebih lebar dari jarak Basra Syam dengan San’a Yaman.  Dicurahkan ke dalamnya saluran air al-Kauthar (sebuah telaga di dalam syurga).  Airnya lebih putih dari susu, lebih lembut dari mentega dan lebih manis dari madu.  Batu-batunya adalah permata dan pasirnya adalah haruman.  Barangsiapa meminum air darinya, maka dia tidak akan merasa haus selama-lamanya.  Barangsiapa yang diharamkan (meneguk) airnya maka dia diharamkan dari semua kebaikan.”

Semoga Rasulullah S.A.W menerima cinta kita yang tidak seberapa ini dan kita akan dapat bertemu dengan Baginda S.A.W di tempat yang telah dijanjikan.

Cetusan Hati
18 Rabi'ul Awwal, 1432H

Monday, December 6, 2010

Hijrah, Daulah & Dakwah

Setelah 13 tahun menyampaikan risalah tauhid kepada masyarakat Makkah yang diselimut tebal dengan kejahilan dan keangkuhan, tribulasi dakwah Rasulullah SAW telah sampai ke kemuncaknya.  Dakwah yang bermula dengan isteri tercinta Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid, ahli keluarga terdekat dan golongan lemah kini telah menjalar kepada pelbagai lapisan termasuk golongan bangsawan Quraisy.  Bahkan pengaruh Islam kini sudah merebak ke luar dari kota Makkah dengan termeterainya perjanjian Aqabah antara Rasulullah S.A.W dengan penduduk Yathrib.  Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W ini telah mencemaskan kaum kafir Quraisy.  Abu Jahal dan pembesar-pembesar Quraisy seperti Utbah bin Rabi’ah, Ubay bin Khalaf, Walid bin Mughirah mula merasa tercabar.  Mereka kini nekad untuk menghentikan dakwah Rasulullah S.A.W untuk kesekian kalinya. 
Pada hari itu mereka berkumpul di Dar Al-Nadwah untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi menentukan tindakan yang perlu dilakukan terhadap Rasulullah S.A.W.  Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Iblis yang menyamar diri sebagai seorang tua.  Iblis yang berada ditengah mereka berkata-kata memulakan bicara;
“Perhatikan benar-benar keadaan orang itu (Nabi S.A.W). Demi Allah, tidak lama lagi pasti ia dapat mengalahkan kalian dalam segala urusan.”
Mendengarkan demikian, keluarlah usul untuk menangkap dan memenjarakan Nabi S.A.W dalam ikatan yang kuat sehingga mati sepertimana yang pernah mereka lakukan kepada beberapa penyair mereka sebelum itu.  Mendengar usul ini Iblis yang berupa seorang tua itu berkata-kata lagi kali ini dengan nada membantah,
“Pendapat itu tidak benar. Demi Allah dia akan dikeluarkan oleh Tuhannya, kembali kepada sahabatnya, kemudian menyerang dan mengusir kamu dari negerimu ini!”
 Lalu jawab orang yang hadir, “Benar kata orang tua itu. Cuba usulkan yang lain!”
 “Usirlah ia dari tengah-tengah kamu, asingkan dia ke lain tempat supaya kamu aman darinya sebab jika ia berbuat apa-apa di lain tempat kamu tidak apa-apa.” 
Sekali lagi Iblis yang berupa orang tua itu membantah,
 “Demi Allah pendapat itu kurang tepat. Tidakkah kalian merasakan manis bicaranya dan lancar lidahnya yang dapat menawan hati pendengarnya. Demi Allah, jika kalian membiarkannya, lalu ia berleluasa melakukan propaganda kepada lain-lain bangsa Arab, pasti mereka akan bersatu membantunya kemudian datang mengusir kamu dan membunuh tokoh-tokoh kamu.”
Jawab hadirin, “Benar kata orang tua itu. Kerana itu ajukan usul yang lain.” 
Maka berkatalah Abu Jahal, “Demi Allah aku akan mengusulkan kepadamu sesuatu yang aku kira kamu belum sampai ke situ hingga kini dan aku tidak merasa ada usul yang seperti ini.”
Hadirin bertanya, “Apakah usul itu wahai Abal Hakam?” 
Lantas Abu Jahal berkata, “Kamu harus memilih daripada setiap suku kabilah seorang pemuda yang tangkas gagah berani, lalu diberikan kepadanya setiap seorang satu pedang. Kemudian semua pemuda itu berkumpul untuk menikam Muhammad secara serentak dan darahnya terperecik pada semua kabilah.  Dengan itu Bani Hasyim tidak akan dapat memerangi bangsa Quraisy seluruhnya untuk membalas dendam. Sebaliknya mereka akan berpuashati dengan hanya menerima bayaran gantirugi dan kami merasa tenang daripadanya.”
Mendengar usul daripada Abu Jahal ini orang tua itu langsung berkata, “Inilah usul yang terbaik. Pendapat yang terbaik ialah yang dikatakan oleh orang ini dan tidak ada pendapat yang lebih baik daripada itu.” 
Maka bersurailah mereka daripada mesyuarat yang penuh dengan kejahatan itu dengan tekad untuk melaksanakan usul membunuh Rasulullah SAW.  Jibril A.S mendatangi Rasulullah SAW menyuruh baginda supaya tidak bermalam di rumah baginda pada malam itu bahkan Ali bin Abi Talib pula disuruh tidur di tempat baginda.  Kemudian turunlah wahyu daripada Allah SWT memerintahkan Rasulullah S.A.W untuk berhijrah ke Madinah.
Rancangan jahat kaum musyrikin itu telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Anfal, ayat 30:
“Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”
Hijrah yang berlaku kepada Rasulullah S.A.W 1,432 tahun yang silam adalah suatu peristiwa yang sangat besar dan penting di dalam riwayat hidup baginda S.A.W.  Justeru amat wajar bagi kita umat Islam untuk mengingati, mengkaji dan menghayati peristiwa hijrah dan riwayat hidup Rasulullah S.A.W, terutamanya ibrah atau pengajaran penting yang boleh diambil daripadanya.  Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti telah menukilkan kata-kata berikut di dalam kitab beliau yang masyhur Fiqh al-Sirah:
“Tujuan mengkaji riwayat hidup RasuluLlah dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Oleh yang demikian tidak seharusnya kita menganggap kajian sejarah hidup RasuluLlah ini sama dengan membaca dan menala’ah sejarah para pemerintah (khalifah) di zaman purbakala.  Tujuan pokok dan kajian yang dimaksudkan ialah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin (defakto) Islam semuanya teradun di dalam penghidupan RasuluLlah itu sendiri. Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebih dahulu.  Tegasnya kajian riwayat hidup RasuluLlah SallaLlahu ‘a1aihi Wasallam ini adalah suatu usaha
mengumpul hakikat dan intisari dasar-dasar Islam kemudian memadan dan menyesuaikan dengan contoh Islam iaitu Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alabi Wasallam.”

Hijrah adalah suatu titik tolak penting kepada penyempurnaan Islam.  Kejayaan yang paling besar dalam hijrah ialah pembentukan kerajaan yang dapat mentadbir negara berpandukan ajaran Islam yang bertujuan untuk membawa kemaslahatan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.  Kegiatan politik dan pemerintahan Islam di Madinatul Munawwarah telah menjadi asas dan teras yang paling kukuh dalam mendaulatkan sistem hidup Islam yang syumul (menyeluruh) meliputi perlembagaan, pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan, ketenteraan, hubungan antarabangsa dan sebagainya.  Allah S.W.T juga telah mewajibkan kita melaksanakan kerja-kerja amar ma’ruf dan nahi munkar.  Tanggungjawab tersebut tidak dapat disempurnakan kecuali dengan wujudnya kekuatan, kuasa pemerintahan dan kepimpinan yang soleh.

Sirah Rasulullah S.A.W juga mengajar kita bahawa sesungguhnya dakwah yang dilaksanakan ke atas penguasa yang menolak Islam pasti akan menemui tentangan yang maha hebat.  Para penguasa, dengan kekuasaan, kekuatan dan keangkuhan yang ada pada mereka, pasti akan menekan para pendakwah sampai kepada peringkat menangkap, mengusir dan membunuh.  Justeru, penolakan dan penentangan terhadap para penguasa sebegini adalah suatu tindakan yang bukan sahaja boleh diterima akal tetapi dibolehkan oleh syarak berdasarkan ijtihad ulama masa kini.  Di dalam konteks negara kita hari ini, penentangan dan penolakan boleh dilakukan dengan cara undian di dalam pilihan raya.

Kedatangan awal Muharram lebih wajar disambut dengan menyemarakkan kembali semangat Hijrah dan perjuangan Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda yang diredhai.  Tribulasi demi tribulasi yang dihadapi tidak mematahkan akidah dan semangat juang mereka untuk mendaulatkan Islam sehingga cahaya agama ini sampai kepada kita 1,432 tahun kemudian.  Adalah malang apabila kita hari ini hanya sibuk dengan doa awal tahun dan bubur Asyura sahaja.

Cetusan Hati
01 Muharram, 1432H.

Tuesday, November 16, 2010

Terimalah Daripada Kami...

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).  Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”  (Al-Kauthar, 1-2)

“Tiada satu amalan anak Adam yang dilakukan pada hari penyembelihan (Hari Raya `Idul Adha) yang lebih dicintai oleh Allah berbanding menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah itu pasti tumpah daripada (redha) Allah di sesuatu tempat sebelum ia tumpah ke atas bumi, maka perelokkanlah diri dengannya.”  (Hadis Tirmizi)
Bagi seorang hamba Allah, dua dalil di atas sudah cukup untuk melonjakkan kemahuan di hatinya untuk melakukan ibadat korban.   Dia tidak akan melepaskan peluang yang dibentangkan di hadapannya.  Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mempastikan dia dapat berkorban walau satu bahagian.  Dia sanggup menabung RM1 sehari.  Kalau ada manusia yang sanggup menghabiskan RM10 sehari untuk sebungkus rokok yang akan membunuhnya, apalah sangat RM1 sehari untuk mendapat cinta yang paling agung.  Atau dia mungkin tidak akan membeli akhbar harian kegemarannya dan hanya membaca akhbar di perpustakaan atau internet saja.  Atau dia mungkin tidak makan tengahari hanya untuk 2 hari di dalam seminggu dengan berpuasa sunat Isnin dan Khamis.  Atau dia terpaksa melupakan sepasang baju sutera atau songket Terengganu untuk isteri tersayang.  Dia akan fikirkan cara-cara yang munasabah untuk dia menyediakan RM360 setahun bagi tujuan korban.  Yang penting, dia harus berkorban!  Dan dia yakin Allah SWT akan membantu untuk mempermudahkan rezekinya kerana niatnya yang ikhlas untuk berkorban kerana Allah.
Segala puji-pujian bagiMu Allah kerana mengurniakan kepada kami harini, 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) sebagai peluang untuk kami melakukan ibadat korban.  Kami menyembelih haiwan-haiwan ternakan sebagai tanda syukur kami di atas kebaikan yang banyak yang Engkau telah kurniakan kepada kami.  Kami juga melakukan korban ini untuk mendapat cintaMu kerana ia adalah amalan yang paling Engkau cintai pada hari-hari ini. Jadikanlah korban kami yang tidak seberapa ini sebagai pencetus untuk kami melakukan korban-korban yang lebih besar bagi meninggikan agamaMu.  Jadikanlah ia sebagai penebus kepada dosa-dosa yang telah kami lakukan.  Dan jadikanlah korban kami ini sebagai saksi yang akan membahgiakan kami di akhirat nanti.
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.  Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya.  Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-yang berusaha supaya baik amalnya.”  (Al-Hajj, 37)
 Ya Allah! Ini daripadaMu dan untukMu, maka terimalah daripada kami.
Cetusan Hati
10 Zulhijjah, 1431H.

Saturday, November 13, 2010

Selidik Sebelum Sebar


Beberapa bulan lalu seorang teman telah menerima sepucuk email yang mendakwa bahawa JAKIM telah menggantung Sijil HALAL yang dikeluarkan kepada sebuah pusat sembelihan yang membekal daging kepada Mc Donalds. Dengan niat yang tulus dan baik, teman tersebut telah memanjangkan email tadi kepada rakan-rakan beliau termasuk saya. Selang beberapa hari, JAKIM telah mengeluarkan kenyataan rasmi di laman web mereka menafikan dakwaan tersebut. Dengan rasa kesal dan penuh tanggungjawab, teman tadi telah terpaksa pula menyebarkan satu lagi email untuk membetulkan 'kerosakan' yang telah dilakukannya.

Arakian, beberapa minggu yang lalu seorang hamba Allah telah meletakkan satu risalah di papan kenyataan masjid di tempat saya. Di dalam risalah tersebut disertakan gambar-gambar berikut:





Di samping gambar-gambar di atas, ditampal juga senarai barang-barang yang didakwa tidak HALAL:

SENARAI BARANG YANG MENGANDUNGI LEMAK BABI
> 1. Minyak Masak LAM SOON ( Cap Helang & Buruh )
> 2. Ubat Pearl Cream Arche ( Thailand )
> 3. Ajinomoto ( Thailand )
> 4. Ais Krim Harga RM1.00 ke atas
> 5. Semua tauhu buatan Orang Cina
> 6. Sabun LUX & Lotion Badan Buatan Malaysia , USA , & Thailand
> 7. Sabun FAB berbuku
> 8. Lobak Jeruk
> 9. Mee & Kueteow basah ( buatan Cina)
> 10. Krim Muka Hazeline Snow

SENARAI BARANG YG MENGANDUNGI ( KULIT BABI, URI & BINATANG YANG TIDAK HALAL)
> 1. Semua Jenis Serbuk Mee Segera Terutama Maggi
> 2. Pucuk , Kulit Popia, Fish Cake & Bebola Ikan buatan Orang Cina
> 3. Daging Burger Import
> 4.. Sardin, Kari Ayam dlm tin & Yong Taufu buatan Orang Cina
> 5. Kasut Bola Jenis ' Gold Cup'
> 6. Berus Gigi Jenis ' Reach'
> 7. Mee Kering ( sanggol ) 15.Mee Rebus Tulang&Kiub Perasa Ayam
> 8. Semua sabun mandi yang diimport
> 9. Ajinomoto kecuali keluaran Kilang Lot 5710 Jalan Kuchai Lama KL
> 10. Semua jenis shampoo kecuali keluaran Orang Islam
> 11. Have Pearl Cream
> 12. Ramuan Kentucky Fried Chicken & Mc Donald
> 13. Ubat Kurap buatan Org Cina
> 14.. Beehon Segera
Siam

> 16. Sabun Mandi Yang Berminyak

SENARAI BARANG YANG MENGANDUNGI GELATIN ( LEMAK BABI DAN BINATANG TIDAK HALAL )
> 1. Bosset Wine
Gum

> 2. Dairy Milk Coklat
> 3. Coklat Cadbury/ Chewing Gum
> 4. Sugus
Strawberry

> 5. Passer Doily Mixture
> 6. Trebo Mint Chewing Gum/ Peppermint
> 7. Scothes Vikmin
> 8.
Share Extra Atrenght
> 9. Black Current Jelly
> 10. Royal Gulaman & Decart Oranges
> 11. Valvis Gelatin
> 12. Sarung Kapsul Ubat
> 13. Ais Krim dalam bekas plastik
> 14. Gula-gula Fruities
> 15 Cake Mets Vilber Punch
> 16 Coklat Cake
> 17 Tepung Kastard Lady's
Choice

> 18 Semua jenis Jelly
> 19 Semua jenis gincu bibir
> 20 Keseluruhan Jenis Sheisedo
> 21 Lady's Choice Jelly

> SENARAI BARANG YANG MENGANDUNGI ALKOHOL UNSUR-UNSURNYA
> 1 BARANGAN AVON KESELURUHANNYA
> 2 PEWANGI KETIAK TERUTAMA JENAMA VITALIS & CONCORD
> 3 MINYAK RAMBUT BRYLCREAM ( HIJAU )
> 4 RACUN SERANGGA JENIS
SPRAY SEPERTI SHIELDTOX, BAYGON & MORTIN
> 5 SELURUH UBAT BATUK JENIS SIRAP
> 6 KESELURUHAN BALL PEN DAKWAT KERING
> 7 TONIK BAYI
GRAPE
WATER, TONIK WATERBERRY COMPOUND

Kami dalam keresahan memohon ampun dan maaf terlewat memberutahu perkara di atas. Pastikan Pakaian anda tidak terkena bahan-bahan diatas terutama pakaian sembahyang. TOLONG CETAK DAN EDARKAN RISALAH INI KPD SEMUA SAUDARA ISLAM KITA.

Confirm - Pringles Potato Chips - tidak HALAL !!


Gambar-gambar dan senarai barangan seperti di atas telah ditampal ke papan kenyataan masjid bertujuan untuk memberi mesej kepada pengguna-pengguna Islam bahawa Burger King dan produk-produk yang disenaraikan itu tidak HALAL dan umat Islam wajib menjauhinya. Pada saya, perbuatan ini adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab, walaupun si pembuatnya berniat baik. Pertamanya tidak dinyatakan siapa yang menyebarkan maklumat tersebut dan sumber daripada mana maklumat-maklumat tersebut diperolehi. Gambar-gambar itu mungkin saja telah di rakam di luar Malaysia. Maklumat yang dinyatakan juga amat meragukan dan 'menggelikan hati', contohnya aiskrim di dalam bekas plastik di hukum sebagai mengandungi gelatin???

Umum mengetahui bahawa pihak yang berautoriti untuk menentukan status HALAL atau tidak sesuatu produk di negara kita ini ialah JAKIM. Sebarang risalah atau sebaran yang dikeluarkan berkenaan status HALAL sesuatu produk oleh pihak selain daripada JAKIM wajar diselidik dan disahkan sebelum ianya disebarkan kepada umum. Sepertimana ketika kita menentukan tarikh permulaan puasa Ramadhan dan Hari-hari Raya, pihak yang berautoriti di dalam hal ini adalah Majlis Raja-Raja Malaysia. Hanya kenyataan rasmi daripada mereka sahaja yang layak dipercayai. Jika ada seseorang memberitahu kita bahawa Hari Raya Haji jatuh pada tarikh sekian-sekian, kita secara spontan akan bertanya balik "Adakah penyimpan mohor besar Raja-Raja telah membuat pengumuman?" Oleh itu, di dalam hal HALAL/HARAM sesuatu produk ini, bila ada pihak yang menyatakan suatu produk itu tidak HALAL, kita patut bertanya "Adakah JAKIM yang kata begitu?" Kita juga boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak JAKIM.

Islam adalah satu agama yang sempurna. Justeru, Islam telah menetapkan kepada umatnya beberapa peraturan di dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi yang diistilahkan sebagai syariat. Jika syariat ini dipatuhi, hidup manusia akan sejahtera dan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Jika sebaliknya, hidup manusia akan jadi porak peranda. Begitulah di dalam menentukan HALAL atau HARAM sesuatu perkara, syariat Islam telah menetapkannya. Sebarang hukum yang ditentukan dengan tidak berpandukankepada syariat bakal membawa implikasi yang sangat buruk. Berkata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitab beliau "Halal dan Haram Dalam Islam":

Dan kalau Islam telah mengecam terhadap orang-orang yang mengharamkan dan menghalalkan keseluruhannya, namun ia telah mengkhususkan orang-orang yang suka mengharamkan itu dengan kecaman yang lebih kuat dan lebih berat, memandangkan apa yang terdapat pada tujuan ini ada semacam pengungkungan ke atas manusia dan penyempitan terhadap apa yang diluaskan Allah kepada mereka tanpa ada sebab yang memaksa. Dan kerana hal tersebut hanya memenuhi kehendak-kehendak setengah ahli agama yang keterlaluan saja. Padahal Rasulullah SAW pernah membanteras tuntutan perasaan keterlaluan dan pengerasan dengan segala macam senjata, serta mencela orang-orang yang keterlaluan itu, dan memberitahu mereka dengan sabdanya:

"Biarlah binasa orang-orang yang keterlaluan itu! Biarlah binasa orang-orang yang keterlaluan itu! Biarlah binasa orang-orang yang keterlaluan itu!" (Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

Kemudian baginda mengisytiharkan tentang kesederhanaan dalam perutusannya itu dengan sabdanya:
"Saya diutus dengan membawa suatu agama yang penuh toleransi." (Riwayat Ahmad)

Maka dia adalah teguh dalam aqidah dan tauhidnya, bersifat toleransi dalam segi amal dan undang-undangnya. Lawan dari kedua-duanya ini adalah syirik dan mengharamkan yang halal, dan kedua-dua inilah yang disebutkan oleh Nabi SAW pada apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Berkat dan Maha Tinggi, yakni dalam sebuah hadith Qudsi, berbunyi:

"Aku telah menciptakan hamba-hambaKu itu dalam keadaan bersikap lurus, dan sesungguhnya mereka telah didatangi syaitan-syaitan, lalu membengkokkan mereka dari agama mereka, dan mengharamkan ke atas mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka serta menyuruh mereka supaya menyekutukan Aku dengan sesuatu yang Aku tidak turunkan keterangan padanya."

Justeru, berhati-hatilah di dalam perkara ini. Selidik dahulu sebelum sebar!


Cetusan Hati
06 Zulhijjah, 1431H
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...