10 akhir Ramadhan bakal menjelang beberapa hari lagi. Semoga Allah SWT melanjutkan usia kita untuk bertemu dengannya dan semoga kita dikurniakan kekuatan untuk beribadat padanya bagi memburu Lailatulqadar yang merupakan suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Menghidupkan malam 10 akhir Ramadhan dengan ibadat atau Qiamullail amat dititikberatkan oleh junjungan Rasulullah SAW. Diriwayatkan bahawa pada malam-malam 10 akhir Ramadhan ini, baginda begitu bersungguh-sungguh beribadat. Bahkan, baginda SAW juga turut membangunkan ahli keluarga baginda untuk beribadat.
Daripada Aisyah r.a yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, orang-orang beriman yang mendambakan rahmat, pengampunan dan pelepasan dari neraka Allah, akan berlumba-lumba untuk melaksanakan sunnah Rasulullah SAW, menghidupkan 10 malam akhir Ramadhan dengan ibadat.
Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW beriktikaf di masjid baginda di sepanjang 10 akhir Ramadhan ini. Justeru, kita disunatkan untuk beriktikaf di masjid. Walaupun kita boleh saja menghidupkan malam akhir Ramadhan di rumah, tetapi bagi kaum muslimin lebih afdal ianya dilakukan di masjid. Disamping memperolehi pahala iktikaf selama mana kita berada di dalam masjid, hatta ketika kita tidur sekalipun, terdapat juga hikmah-hikmah yang lain. Antaranya, suasana tenang dan tenteram di masjid, terutamanya di waktu malam, akan memberikan kesan yang kuat dan mendalam kepada jiwa. Ini selaras dengan tujuan qiamullail itu sendiri sepertimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Muzammil, ayat 6:
“Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya”.
Tetapi malangnya, apa yang berlaku hari ini di sesetengah masjid, ketenangan dan ketenteraman agak sukar diperolehi, terutamanya di 10 malam akhir Ramadhan. Lantaran, di 10 malam akhir Ramadhan ini, banyak masjid akan menganjurkan program qiamullail secara berjamaah. Qiamullail secara berjamaah tidak menjadi masalah kerana para ulama, contohnya Imam Al-Ghazali r.a, mengharuskannya untuk tujuan mendidik dan menggalakkan umat Islam memperbanyakkan ibadat, terutama di 10 akhir Ramadhan. Cuma yang menjadi masalah ialah ada di kalangan imam qiam berjamaah ini membaca secara jahar atau kuat sehingga boleh mengganggu para jamaah lain yang memilih untuk qiam secara sendirian. Bahkan ada juga masjid yang menggunakan pembesar suara yang sudah tentu lebih mengganggu.
Persoalannya, apakah harus imam menyaringkan bacaannya di dalam solat malam secara berjamaah ini sehingga boleh mengganggu ahli jemaah lain yang sedang beribadat?
Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Isra, ayat 110:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah nama “Allah”atau nama “Ar-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia”. Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan do’a atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunalah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.
Ulama mazhab Syafie mentafsirkan sembahyang di sini dengan solat sunat malam.
Di samping itu, Sheikh Abu Laits As-Samarqandi r.a. dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin, ketika menjelaskan 15 perkara yang patut dilaksanakan dan ditinggalkan (Do’s and Dont’s) bagi tujuan menjaga kehormatan masjid, melarang bersuara keras di dalam masjid kecuali dalam berzikir jika tidak mengganggu orang lain. Dapat difahamkan di sini bahawa mengeraskan suara di dalam masjid dengan tujuan berzikir (termasuk membaca Al Quran) adalah harus, menurut Sheikh Abu Laits As-Samarqandi, selama mana ianya tidak mengganggu orang lain.
Berdasarkan kepada 2 hujah, jelas kepada kita bahawa mengeraskan atau menyaringkan bacaan semasa solat malam secara berjamaah ini adalah DILARANG apabila menyebabkan gangguan kepada orang lain.
Bagi seorang pelajar yang ingin mentelaah pelajarannya secara berkesan, ketenangan dan ‘privacy’ amat diperlukan. Justeru dia akan mencari tempat yang boleh menjami ketenangan dan ‘privacy’ yang diperlukan tadi dan tempatnya adalah perpustakaan. Di perpustakaan ada ketenangan dan ‘privacy’ kerana di sana ada peraturan-peraturan yang dibuat untuk mewujudkan kedua-dua perkara tersebut. Dan yang lebih penting, di perpustakaan, peraturan-peraturan tersebut biasanya dipatuhi oleh semua pengunjung. Tidak ada insan yang waras dan secara sedar akan meninggikan suaranya sehingga boleh mengganggu orang lain yang sedang berada di dalam perpustakaan itu. Dan juga, tidak ada insan yang waras yang tidak akan menegur atau memberi isyarat senyap kepada orang yang meninggikan suara tadi. Demikianlah hukum dan peraturan umum di dalam perpustakaan yang difahami dan diakuri oleh semua orang yang waras. Demikian juga halnya dengan tempat-tempat ‘mulia’ yang lain seperti istana, mahkamah, dewan rakyat dan seumpamanya.
Seorang hamba yang ingin beribadat dan bermunajat kepada Tuhannya, akan mencari tempat yang dapat memberikan ketenteraman dan ketenangan kepadanya, dan masjid adalah tempatnya. Kerana masjid, sebagai tempat yang paling mulia di atas muka bumi, yang lebih mulia dari perpustakaan, istana, mahkamah, dewan rakyat dan seumpamanya, sudah tentu mempunyai peraturan-peraturannya yang tersendiri yang perlu dihormati. Sheikh Abu Laits As-Samarqandi r.a. telah menyenaraikan peraturan-peraturan tersebut di dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin. Justeru, para pegawai , AJK dan ahli jamaah masjid yang terdiri daripada orang-orang baik dan ingin melakukan kebaikan seharusnya faham dan akur dengan peraturan-peraturan tersebut. Namun, malang sekali lagi, apa yang berlaku di akhir zaman ini, masjid ada kalanya menjadi lebih hiruk-pikuk dari pasar.
Cetusan Hati
17 Ramadhan, 1431H.
No comments:
Post a Comment