Monday, August 16, 2010

Buang Bayi, Betulkah Tindakan Kita?

Mutakhir ini gejala membuang bayi kembali berleluasa. Hampir setiap hari, ada saja laporan tentangnya di media massa.  Pihak yang memegang tampuk kuasa sudah tidak lagi menganggap ianya sebagai kes-kes terpencil seperti lazimnya. Lantaran, beberapa tindakan sudah, sedang dan bakal diambil untuk membendung gejala ini. Bermula dengan penubuhan "Baby Hatch" (Terjemahan: Bayi Menetas) oleh KPWKDM, cadangan membina sekolah khas oleh KM Melaka dan terkini cadangan mengenakan hukuman berat terhadap sipelaku.  Dari perspektif yang pesimistik, apakah hukuman seberat gantung sampai mati akan berjaya mengurangkan, jika tidak mensifarkan, kes pembuangan bayi ini?  Lihatlah kepada masalah penyalahgunaan najis dadah.  Hukuman mati mandatori yang sudah puluhan tahun dilaksanakan tidak mengurangkan bilangan penagih dadah di negara kita.  Malah, bilangan tersebut semakin meningkat dari sehari ke sehari menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Mungkin untuk beberapa hari dan bulan mendatang akan tercambah lagi beberapa idea di luar kotak sekiranya bilangan bayi yang dibuang mengatasi jumlah yang dihantar ke "Baby Hatch". Apakah nanti akan ada insentif berbentuk wang tunai yang diberikan kepada mereka yang menghantar bayi-bayi mereka ke "Baby Hatch"? Tidak mustahil.


Ibarat memotong lalang yang meninggi tetapi akarnya tidak dicabut.  Kita terlepas pandang kepada punca utama kepada gejala pembuangan bayi ini iaitu perzinaan yang berlaku di kalangan remaja.  Kita sepatutnya mengambil tindakan yang holistik untuk membenteras gejala zina ini.  Holistik di sini bermakna merujuk kepada kitab Allah. 
 
Kita sekarang berada di dalam bulan Ramadhan yang juga bulan Al Quran. Kita sudah berazam untuk khatam Al Quran dan majlis khatam secara besar-besaran juga sudah dirancang. Amat malang apabila kita tidak ambil peduli pengajaran dan hukum-hakam yang termaktub di dalam Al Quran.

"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah". (Al Baqarah, 185)

Cetusan Hati
6 Ramadhan 1431H

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...