Saturday, August 14, 2010

Ramadhan, AJK Masjid dan Ulama


Ramadhan tiba lagi. Bulan yang mulia dan berkat. Bulan yang di awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kemerdekaan dari neraka. Tidak ada seorang insan yang beriman yang tidak tahu semua ini. Kalau pak-pak imam dan ustaz-ustaz tak sebut pun mereka sudah tahu. Sebab itu di masjid-masjid kehadiran para jemaah amat luarbiasa terutama sekali di waktu malam. Tak perlu ada jemputan rasmi. Ada masjid dan surau yang jemaahnya melimpah sampai ke tangga. Mana tidaknya. Masa inilah semua orang mencari masjid. Habis semua isi rumah diangkut sama. Yang tinggal hanya kucing, ikan dan haiwan peliharaan lain. Para AJK dan pegawai masjid pun tahu. Tanpa pekeliling daripada pejabat agama pun mereka sudah tahu. Sebab itu mereka dan buat persiapan awal untuk menerima kehadiran jemaah yang luarbiasa ini. Mereka terpaksa bermesyuarat walaupun sebelum ini jarang-jarang mereka mesyuarat. Tiba Ramadhan, mereka jadi aktif dan sibuk luarbiasa. Mereka perlu bincang. Semak-samun di sekitar masjid perlu dibersihkan untuk dijadikan tempat parkir. Mereka juga kena ambil persetujuan samada nak sewa kanopi ke tidak? Nak solat tarawikh 8 ke 20? Nak cari imam hafiz ke tidak? Nak ada tazkirah ke tidak? Nak buat kumpulan tadarrus ke tidak? Qiamullail bagaimana? Majlis khatam Al Quran dan iftar perdana macamana? Bahkan, ada juga AJK yang kreatif yang menyediakan tempat jagaan bayi, pengawal dan peronda keselamatan dan macam-macam lagi. Mereka kena bincang semua itu. Kerana yang penting, jemaah luarbiasa mesti selesa dan dapat beribadat dengan selesa. Itu KPI mereka. Soal wang pula jangan risau kerana dengan kemuliaan dan keberkatan Ramadhan jemaah luarbiasa sedia menderma walaupun sebelum ini mereka terlalu lokek untuk menderma.


Demikianlah senario Ramadhan saban tahun. Ramadhan 1431H telah hadir dan bakal pergi lagi. Persoalannya, adakah matlamat Ramadhan itu telah kita capai? Tidak ada seorang insan yang beriman yang tidak tahu firman Allah di dalam surah Al Baqarah ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Terjemahan dari Tafsir Pimpinan Ar-Rahman)

Nah! Allah SWT telah menetapkan matlamatnya. Itulah matlamat dan itulah KPI, TAQWA. Kembali kepada persoalan tadi, adakah matlamat Ramadhan telah kita capai? Kita sebagai seorang individu muslim dan kita sebagai sebuah masyarakat yang majoritinya muslim. Lihat saja apa yang berlaku kepada masyarakat Malaysia kita. Setelah lebih 53 Ramadhan, adakah kita sudah menjadi masyarakat yang bertaqwa? Secara umumnya tidak. Malah taqwa kita sudah semakin hilang saban tahun. Cara kita menyambut Ramadhan semakin canggih dan hebat dibandingkan dengan 53 Ramadhan lalu tetapi taqwa kita semakin terhakis. Maksiat semakin hebat dan berleluasa. Kalau dahulu kes zina adalah kes terpencil, sekarang zina sudah jadi barah yang sukar dirawat. Kalau sekitar awal 80an dahulu, wanita-wanita kita telah mula menutup aurat, kini mereka telah mendedahkan tubuh badan mereka kembali. Bahkan para lelaki Melayu Islam juga sudah terlalu ramai yang berseluar pendek mengalahkan lelaki Cina dan India. Pergaulan bebas, pendedahan aurat, arak, judi dan segala jenis maksiat berlaku di depan mata kita. Macamana ini boleh berlaku? Jawabannya mudah. Kita telah meletakkan asas yang salah dan tersasar. Secara hakikatnya kita tidak menjadikan TAQWA sebagai matlamat. Lihat sahaja kepada AJK masjid tadi. Mereka jadikan menegakkan syiar dan keselesaan jemaah luarbiasa sebagai matlamat, bukan TAQWA. Para imam hafiz pula menjadikan kepuasan jemaah luarbiasa mendengar alunan bacaan merdu dan syahdu mereka sebagai matlamat, bukan TAQWA. Para ustaz pentazkirah juga gagal mengingatkan para jemaah luarbiasa supaya berTAQWA dan memperincikan cara untuk mencapai TAQWA itu sendiri. Benarlah sabda junjungan Rasulullah SAW yang mulia yang dinyatakan oleh Abu Nu’aim,

"Dua macam golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan pemerintah."

Dan Allah nyatakan dalam surah at-Taubah ayat 122 bahawa:

"Hendaklah ada sekumpulan mereka keluar mendalami agama dan hendaklah memberi amaran kepada kaumnya apabila dia kembali kepada mereka”.

Cetusan Hati
04 Ramadhan 1431H

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...