“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Al-Kauthar, 1-2)
“Tiada satu amalan anak Adam yang dilakukan pada hari penyembelihan (Hari Raya `Idul Adha) yang lebih dicintai oleh Allah berbanding menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah itu pasti tumpah daripada (redha) Allah di sesuatu tempat sebelum ia tumpah ke atas bumi, maka perelokkanlah diri dengannya.” (Hadis Tirmizi)
Bagi seorang hamba Allah, dua dalil di atas sudah cukup untuk melonjakkan kemahuan di hatinya untuk melakukan ibadat korban. Dia tidak akan melepaskan peluang yang dibentangkan di hadapannya. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mempastikan dia dapat berkorban walau satu bahagian. Dia sanggup menabung RM1 sehari. Kalau ada manusia yang sanggup menghabiskan RM10 sehari untuk sebungkus rokok yang akan membunuhnya, apalah sangat RM1 sehari untuk mendapat cinta yang paling agung. Atau dia mungkin tidak akan membeli akhbar harian kegemarannya dan hanya membaca akhbar di perpustakaan atau internet saja. Atau dia mungkin tidak makan tengahari hanya untuk 2 hari di dalam seminggu dengan berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Atau dia terpaksa melupakan sepasang baju sutera atau songket Terengganu untuk isteri tersayang. Dia akan fikirkan cara-cara yang munasabah untuk dia menyediakan RM360 setahun bagi tujuan korban. Yang penting, dia harus berkorban! Dan dia yakin Allah SWT akan membantu untuk mempermudahkan rezekinya kerana niatnya yang ikhlas untuk berkorban kerana Allah.
Segala puji-pujian bagiMu Allah kerana mengurniakan kepada kami harini, 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) sebagai peluang untuk kami melakukan ibadat korban. Kami menyembelih haiwan-haiwan ternakan sebagai tanda syukur kami di atas kebaikan yang banyak yang Engkau telah kurniakan kepada kami. Kami juga melakukan korban ini untuk mendapat cintaMu kerana ia adalah amalan yang paling Engkau cintai pada hari-hari ini. Jadikanlah korban kami yang tidak seberapa ini sebagai pencetus untuk kami melakukan korban-korban yang lebih besar bagi meninggikan agamaMu. Jadikanlah ia sebagai penebus kepada dosa-dosa yang telah kami lakukan. Dan jadikanlah korban kami ini sebagai saksi yang akan membahgiakan kami di akhirat nanti.
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-yang berusaha supaya baik amalnya.” (Al-Hajj, 37)
Ya Allah! Ini daripadaMu dan untukMu, maka terimalah daripada kami.
Cetusan Hati
10 Zulhijjah, 1431H.
No comments:
Post a Comment