Sunday, November 7, 2010

Hak Yang Tidak Ditunaikan

Sekonyong-konyong, khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh Terengganu pada hari ini (5 Nov 2010) membicarakan isu daftar pemilih yang beberapa bulan lalu telah menjadi satu isu hangat negara.   Seperti dilaporkan BERNAMA pada 18/1/2010, Timbalan Pengerusi  SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar mendedahkan bahawa sehingga akhir 2009, kira-kira 28% atau 4.39 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas yang layak menjadi pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih, dan kira-kira 65% daripada mereka adalah Bumiputera iaitu Melayu dan Etnik Sabah dan Sarawak.   SPR juga menyatakan bahawa menurut kajian mereka ramai yang suka menunggu hingga ke saat-saat akhir sebelum pilihan raya untuk mula mendaftar.  Oleh kerana proses pendaftaran biasanya mengambil masa beberapa bulan, SPR tidak memberi jaminan bahawa mereka yang mendaftar akan berjaya tersenarai sebagai pemilih berdaftar dan layak mengundi. 
Pendedahan ini telah menimbulkan reaksi pelbagai pihak yang rata-rata melahirkan rasa bimbang jika senario ini kekal, mungkin suatu masa nanti kaum Melayu akan hilang kuasa politik di tanahair sendiri.  Ada juga yang curiga dan merasakan bahawa pendedahan ini hanya sekadar mainan politik pihak-pihak tertentu yang ingin membangkitkan semangat orang-orang Melayu.  Malah ada juga segelintir puak yang tidak ambil kisah langsung.   Walaubagaimanapun, SPR telah mengambil beberapa langkah drastik dan proaktif untuk mempastikan semua yang layak mendaftar berbuat demikian dengan segera.  Antaranya dengan menyediakan kaunter-kaunter pendaftaran bergerak dan kempen kesedaran di seluruh negara.   Khutbah Jumaat hari ini adalah satu cara yang berkesan untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Melayu Islam untuk mendaftar sebagai pemilih.  Justeru,  SPR ini harus diberikan pujian.  Syabas SPR!
Berdasarkan pendedahan ini timbul satu persoalan, apakah sebabnya ramai rakyat Malaysia berbangsa Melayu kurang mengambil berat untuk mendaftar sebagai pengundi berbanding dengan bangsa-bangsa lain?  Pada hemat saya, ada dua sebab besar yang ingin saya bincangkan di ruang yang terhad ini.
Sebab yang pertama; menganggap bahawa urusan mendaftar sebagai pemilih ini tidak penting kerana ianya tidak ada kena mengena dengan kehidupan seharian mereka.  Tanpa mendaftar pun mereka masih dapat cari makan, bergerak ke sana ke mari dan melakukan aktiviti seharian mereka tanpa apa-apa had dan batasan.  Jadi apa perlu mereka mendaftar?  Bagi golongan ini saya ingin menarik perhatian anda begini.  Jika anda mendaftar sebagai pemilih, anda layak untuk mengundi dan memilih pemimpin di daerah mengundi atau kawasan Parlimen anda.  Perkara ini termaktub di dalam Bahagian VIII Perlembagaan Persekutuan.  Parti politik yang memiliki jumlah kerusi majoriti di Dewan Rakyat atau Parlimen tersebut mendapat mandat untuk membentuk kerajaan persekutuan.  Sekarang, katakan bermula 1 Januari 2011 nanti, kerajaan akan menaikkan harga barang-barang keperluan harian seperti petrol, beras, gula, gandum dan sebagainya sebanyak 50% daripada harga sekarang.  Masihkan anda merasakan bahawa anda tidak perlu mendaftar untuk memilih wakil untuk menyuarakan masalah anda di Parlimen?  Mungkin jawaban anda ya sebab anda berpendapatan 5 angka dan kenaikan tersebut tidak membawa apa-apa kesan kepada anda.  Baiklah, untuk anda katakan kerajaan  telah menetapkan kadar cukai pendapatan sebanyak 50% bagi kumpulan yang berpendapatan RM10 ribu ke atas berkuatkuasa serta-merta.   Ini untuk menampung defisit bajet 2011 dan kos pelbagai projek mega yang tidak perlu dan tidak memberi manafaat kepada rakyat.  Bermakna, jika gaji anda RM10 ribu sebulan, anda hanya memperolehi pendapatan kasar RM5 ribu kerana RM5 ribu lagi diambil oleh kerajaan.  Masihkan anda merasakan bahawa anda tidak perlu mendaftar untuk memilih wakil untuk menyuarakan pendapat anda di Parlimen?  Kalau jawaban anda masih ya, saya tinggalkan anda di situ.  Saya akan kembali mungkin setelah anda atau orang yang anda kasihi ditahan (tanpa bicara) di bawah ISA.
Sebab yang kedua; menganggap bahawa pilihan raya adalah suatu perkara yang tidak ada kena mengena dengan Islam, bahkan ianya adalah suatu kaedah yang bercanggah dengan syariat Allah SWT.  Golongan ini walaupun mungkin tidak ramai tetapi jumlahnya semakin bertambah dari hari ke sehari.  Dengan adanya teknologi internet, para pelopor mereka menggunakan laman blog dan email untuk mempengaruhi umat Islam agar tidak melibatkan diri dengan politik kepartian dan pilihan raya.  Ada di antara para pelopor ini berkelulusan sarjana dan doktor falsafah di dalam bidang agama menyebabkan lebih ramai yang mudah terpengaruh terutama mereka yang daripada kalangan intelek yang cenderung kepada agama.  Antara hujah utama mereka ialah Islam itu agama yang suci manakala politik ala demokrasi yang dicipta Barat itu penuh dengan kekotoran.  Justeru Islam dan demokrasi tidak boleh diletakkan di dalam satu bekas.  Hujah mereka lagi, apabila seseorang Islam itu terlibat di dalam politik dan pilihan raya, orang itu akan terjerumus ke dalam lembah maksiat kerana mencaci dan menghina saudara Islam yang lain.  Di samping itu lahir perpecahan di kalangan umat Islam yang berbeza parti politik.   Kesemua ini adalah perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan syariat Allah.  Oleh kerana hujah-hujah seperti ini datang daripada sarjana-sarjana Islam, saya serahkan kepada sarjana Islam juga untuk menjelaskan dan menjawabnya.  Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, seorang sarjana Islam berkelulusan B.A (Syariah) Universiti Islam Madinah dan M.A (Siyasah Syariah) Universiti al-Azhar,  yang juga merupakan seorang ahli politik yang tidak perlu diperkenalkan lagi, telah menulis sebuah buku bertajuk Islam & Demokrasi yang menghuraikan masalah Islam, politik dan demokrasi ini.  Bacalah buku ini dengan hati yang lapang dan terbuka.  Moga hati anda disinari keikhlasan penulisnya yang mengorbankan seluruh kehidupannya untuk Islam dan umat ini.  Beliau dan rakan-rakan seangkatan tidak pernah hidup walau sesaat di bawah ehsan pemerintah malah beliau sentiasa hidup dibawah tekanan pemerintah.   Berbanding sesetengah sarjana yang mendakwa mereka pejuang manhaj salafussoleh tetapi di dalam masa yang sama mengambil jalan yang bertentangan dengan para ulama salaf sendiri.  Ulama salaf seperti Imam Malik tegas menjauhi pintu-pintu istana pemerintah namun para sarjana ini ada yang tinggal di dalamnya.
Kepada golongan yang menolak pilihan raya sebagai satu juzuk daripada agama Islam yang syumul, saya cadangkan anda lapangkan dada dan fikiran sejenak dan baca artikel ini terlebih dahulu http://www.zaharuddin.net/politik-&-dakwah/55/76-memahami-politik-islam.html .  Kemudian, jika anda sudah bersetuju bahawa wujudnya politik dan pemerintahan di dalam ajaran Islam, fikirkan persoalan berikut; bagaimanakah caranya untuk memilih pemimpin yang dapat mentadbir urusan manusia dengan ad-deen atau agama Allah di dalam konteks bernegara sekarang ini, contohnya di Malaysia?  Sekali lagi, menurut perlembagaan negara Malaysia, lebih spesifiknya Bahagian VIII, sebagai warganegara kita mempunyai hak eksklusif untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita.  Itu sahaja jalan yang ada.  Jika anda tidak mahu mengambil jalan ini kerana berkeyakinan penuh bahawa ianya tidak Islamik dan anda berpegang teguh dengan prinsip “matlamat tidak menghalalkan cara”, sila cadangkan cara lain yang Islamik.  Atau anda hanya berpuashati untuk menyerahkan urusan pemilihan pemimpin ini kepada rakyat-rakyat lain yang tidak warak seperti anda.  Kemudian apabila pemimpin dan kerajaan yang terpilih itu dari kalangan mereka yang melakukan kemungkaran atau kerosakan, anda akan cegah dengan lisan secara memberi teguran dan nasihat yang berhikmah melalui tulisan di blog anda yang 100% bebas daripada maksiat, tidak sepertimana kempen-kempen pilihan raya.  Di dalam masa yang sama, anda menjalankan kerja-kerja dakwah menurut cara Islam yang sebenar dan asli pada pandangan anda, iaitu melalui tulisan di blog yang suci bersih tadi.  Andaikan, entah bagaimana, anda tidak ditangkap di bawah ISA atau lain-lain akta oleh pemimpin yang melakukan kemungkaran dan kerosakan yang anda tegur atau nasihatkan melalui blog anda tadi.  Sekarang apabila bilangan rakyat Malaysia yang bersama-sama dengan anda sudah cukup ramai termasuk daripada kaum Cina dan India, anda akan kerahkan mereka ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, antaranya menuntut supaya di lantik pemimpin yang benar-benar mentadbir dengan ad-deen.  Itupun setelah anda berjaya sampai ke pintu pagar Istana Negara kerana polis, FRU dan tentera semuanya sudah berjaya anda dakwahkan untuk bersama-sama dengan anda.

Syeikh Yusof al-Qaradawi menyatakan di dalam kitab beliau Fiqh al-Awlawiyyat, apabila kadar kemanfaatan dan kebaikan lebih besar dan lebih banyakdaripada kadar kerosakan dan kemudaratan di dalam satu masalah, maka masalah tersebut diharuskan dan dibolehkan menurut pandangan syari'at Islam.  Adapun faktor kerosakan dan kemudaratan yang sangat sedikit tadi dikira tidak ada dan mesti diabaikan.

Para ulama usul telah menetapkan beberapa kaedah dan panduan berikut:

"Mencegah kerosakan mesti diutamakan daripada memetik kemaslahatan (kebaikan)."

Kemudian kaedah tersebut dilengkapkan dengan kaedah berikut:

"Melakukan al-Mafsadah (kerosakan) yang kecil dibolehkan demi untuk mendapatkan kemaslahatan (kebaikan) yang besar."

Dengan berpandukan kepada kaedah di ataslah, ulama telah mengharuskan membunuh saudara seIslam yang dijadikan perisai manusia oleh musuh Islam walaupun pada asalnya membunuh itu haram hukumnya.  Menyertai pilihan raya tidaklah sampai ke peringkat membunuh manusia.

WAllahua'lam.

Cetusan Hati
28 Zulkaedah, 1431H.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...