Friday, October 29, 2010

Antara Bencana dan Kerosakan, Mana Satu Dahulu?

Beberapa hari lepas bumi yang kita huni ini digegarkan lagi oleh Penciptanya.  Kali ini gegaran berlaku di dasar lautan berhampiran kepulauan Mentawai di  Barat Sumatera, Indonesia.  Gegaran pada ukuran 7.7 skala Richter itu juga telah menyebabkan tsunami (ombak besar) pada ketinggian 3 meter membadai pulau tersebut.  Sebahagian besar penghuni pulau tersebut dilaporkan terbunuh dan pulau yang sebelum ini damai dan indah bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. 
Tidak cukup dengan itu, selang 32 jam, gunung Merapi yang berada di pulau Jawa pula telah meletup dan mengeluarkan laharnya.  Kejadian ini telah meragut 30 jiwa termasuk ‘penjaga’ kepada gunung berapi tersebut.
Bencana berganda ini dan beberapa siri bencana lain seperti banjir, ribut taufan dan seumpamanya adalah sebahagian daripada tanda-tanda penghujung usia bumi ini.   Ibarat sebuah enjin kereta yang usang, gegaran yang boleh membawa kepada kebocoran dan pelbagai masalah lain menjadi petanda kepada dekatnya waktu lupus enjin tersebut.  Para saintis mengatakan bahawa bumi  berputar mengelilingi matahari pada kelajuan 5,000 km sejam, iaitu lebih 15 kali ganda kelajuan sebuah kereta Formula Satu.  Pada kelajuan sebegini, dan pada usia selanjut ini, tentu sekali bumi akan mengalami gegaran yang dahsyat.  Lebih-lebih lagi apabila pengimbang-pengimbang kepada bumi ini telah diganggu atau dibuang dari tempatnya yang asal.
“Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu, dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.”  (An-Nahl, 15)
Lazimnya, apabila berlaku suatu kemalangan yang meragut nyawa yang ramai, pelbagai pihak akan tertanya-tanya bagaimana kemalangan tersebut bisa terjadi.  Justeru pasti akan dilakukan siasatan yang terperinci untuk mengenalpasti puncanya.  Tindakan-tindakan yang perlu, samada yang drastik atau tidak, akan diambil untuk menghindarkan daripada berlakunya kemalangan yang sama.  Anehnya, apabila berlaku bencana yang meragut nyawa yang berkali ganda lebih ramai, kebanyakan manusia tidak pula tertanya-tanya akan puncanya.  Mereka akan mengatakan bahawa ianya adalah fenomena alam yang tidak dapat dihindarkan kerana bumi ini sudah dipenghujung usianya.  Justeru tiada apa-apa yang dilakukan untuk menghindarkannya daripada berlaku lagi.
Sebagai manusia yang beriman, kita yakin dan percaya bahawa setiap sesuatu yang berlaku tentu ada hikmah atau pengajaran di sebaliknya.  Di dalam setiap situasi, kita wajar mencari panduan daripada Al Quran dan Hadith Nabi SAW.  Allah SWT berfirman:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”  (Ar-Ruum, 41)
Ibnu Katsier telah mentafsirkan ayat di atas seperti berikut:
Allah SWT berfirman bahawa kerosakan di darat, di kota-kota, di desa-desa dan di laut meliputi pulau-pulau telah nampak sebagai akibat perbuatan dan kelakuan manusia.  Berkata Abul-‘Aaliah: “Barangsiapa menderhakai Allah di muka bumi, maka is telah membuat kerosakan di muka bumi, kerana perbaikan di langit dan di bumi adalah dengan bertaat kepada Allah.”
Manakala di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada ‘Ali bin Abu Talib, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:
1.       Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang  yang tertentu sahaja.
2.       Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).
3.       Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
4.       Apabila suami terlalu mentaati isteri
5.       Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.
6.       Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
7.       Apabila kedengaran banyak bunyi bising.
8.       Apabila lebih ramai berbicara mengenai hal keduniaan di dalam masjid.
9.       Apabila pemimpin sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.
10.   Apabila seseorang dimuliakan kerana takutkan tindakan buruknya.
11.   Apabila arak menjadi minuman biasa.
12.   Apabila lelaki memakai sutera.
13.   Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.
14.   Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.
15.   Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu,

maka pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (puting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi.”

Daripada firman Allah SWT dan hadith Rasulullah SAW di atas, jelas kepada kita bahawa segala bala’ bencana yang berlaku di atas muka bumi samada di daratan atau di lautan yang menimpa manusia adalah berpunca daripada kerosakan, penderhakaan atau maksiat yang dilakukan oleh manusia sendiri.

Setelah mengetahui punca-puncanya, apa dan bagaimanakah pula bentuk tindakan yang perlu dilakukan oleh kita?  Secara mudahnya, setiap diri perlu berusaha untuk menghindari dan menghapuskan segala bentuk maksiat di dalam perkara-perkara Aqidah, Ibadah, Mu’amalah dan Akhlak.  Kembalilah kepada Al Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias yang dipandu oleh para Ulama yang takutkan Allah.

Cetusan Hati
21 Zulkaedah, 1431H

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...