Friday, October 1, 2010

Anda Ingin Jadi Seorang Pendakwah? Anda Perlu Tahu ini….

Anda mungkin pernah diziarahi satu jemaah yang mengajak anda untuk menyertai majlis fikir mereka yang lazimnya dilakukan di masjid atau surau.  Di dalam majlis fikir tersebut, mereka akan memberitahu anda kepentingan berfikir di atas iman dan amal.  Begitu juga kepentingan untuk mengajak orang lain untuk turut sama berfikir seperti itu.  Dalam erti kata kain, mereka mengajak anda untuk melakukan kerja dakwah.  Mereka akan berhujah bahawa kerja dakwah ini adalah kerja para Nabi dan merupakan Sunnah yang dituntut sebagaimana hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sampaikanlah daripadaKu walaupun sepotong ayat”.  Kata mereka lagi, jika kita tak buat kerja Nabi, macamana kita nak dapat syafaat daripada Baginda SAW.

Seorang pendakwah yang agak terkenal, yang aktif berceramah di masjid dan surau di seluruh negara, yang juga merupakan seorang bekas penganut Hindu, telah mengatakan bahawa setiap orang Islam yang tidak berdakwah (menyeru) orang bukan Islam untuk memeluk Islam adalah kejam.  Beliau mengibaratkan seorang lelaki yang nampak seorang anak kecil yang bermain di tepi jurang yang tinggi tetapi tidak menghulurkan tangan untuk menyelamatkannya menyebabkan budak tersebut jatuh ke dalam gaung dan mati.  Beliau juga mengatakan, orang-orang bukan Islam yang tidak didakwah ini akan mendakwa orang Islam tersebut di akhirat nanti menyebabkan dia juga terheret bersama mereka ke dalam neraka, na’uzubillah.

Ramai dari kalangan kita yang merasakan bahawa kerja dakwah ini hanya layak dilakukan oleh para ulama, ustaz, imam masjid dan mereka yang seumpamanya.  Namun setelah mendengar dan berfikir tentang dua ajakan seperti di atas, kita akan dihimpit dilema samada mahu kekal berada di dalam zon selesa atau terpaksa turut menjadi seorang pendakwah.  Sebelum anda bertekad untuk terjun ke medan dakwah ini, anda perlu terlebih dahulu bertanya kepada diri apakah anda benar-benar sudah ‘bersedia’ dan mampu untuk melakukannya.  Jika anda merasakan bahawa anda tidak perlukan apa-apa persediaan khusus, anda silap besar! 

Kerja dakwah adalah suatu kerja yang paling besar dan paling penting.  Kerja dakwah adalah untuk mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT dan beramal dengan Syari’atNya.  Hanya apabila seorang manusia itu telah benar aqidahnya dan diterima amalannya oleh Allah SWT, dia akan terselamat daripada azab NerakaNya.

Golongan manusia pertama yang dibebankan dengan kerja terbesar dan terpenting ini adalah para Rasul ‘Alaihissalam.  Sebagaimana kerja besar dan penting yang lain, kerja dakwah ini bukanlah suatu kerja yang mudah.  Allah SWT telah merakamkan di dalam Al-Quran kisah-kisah menceritakan cabaran dan tribulasi yang dihadapi oleh para Rasul tersebut di dalam melaksanakan tugas dakwah mereka.  Para Rasul bukan sahaja diejek dan diusir malah ada di antara mereka yang dibunuh dengan kejam oleh kaum mereka.   

Sepertimana kerja dakwah yang dilakukan para Rasul, kerja dakwah harini juga menghadapi cabaran dan tribulasi yang hampir sama.  Jika untuk menjayakan kerja dakwah mereka, para Rasul telah menjalani proses tarbiyah yang cukup oleh Allah SWT, para pendakwah harini juga perlu menjalani suatu proses tarbiyah yang sama.  Seorang yang ingin membuat kerja ‘direct selling’ untuk menjual suatu produk perlu  menghadiri kursus-kursus tertentu.  Begitu juga seorang anggota pasukan Bomba dan Penyelamat yang kerjanya menyelamatkan manusia yang kebakaran atau kemalangan perlu menjalani latihan yang tertentu.  Kursus dan latihan itu juga disebut tarbiyah.  Bayangkan apa akan terjadi bila seorang penjual ‘direct selling’ itu tidak diajar dan dilatih untuk menjalankan kerja tersebut.  Dia mungkin tidak mampu mendapat jumlah jualan yang diharapkan.  Lebih malang lagi, dia mungkin diusir malah dipukul oleh pelanggan.  Bagi seorang anggota Bomba yang tidak memiliki ilmu dan kemahiran pula, dia tidak akan berjaya menyelamatkan mangsa.  Lebih menyedihkan jika dia sendiri mungkin terkorban ketika cuba menyelamatkan mangsa.  Justeru, jika nak buat kerja ‘direct selling’ dan kerja menyelamat perlu kepada ‘tarbiyah’, kerja dakwah lebih-lebih lagi.

Ulama telah menetapkan beberapa rukun kepada dakwah.  Di antara rukun dakwah tersebut adalah al-Dai' atau pendakwah itu sendiri.  Seorang da’i mesti mempunyai ciri-ciri berikut:
a) Ilmu sebelum berdakwah
b) Niat yang ikhlas.
c) Baik tingkah laku. 
d) Berhikmah ketika berdakwah
e) Bersabar selepas berdakwah
f) Bersemangat juang dan berkorban. 

Satu lagi rukun dakwah adalah Uslub atau cara dakwah.  Uslub tidak hanya melalui kaedah lisan sahaja.  Bahkan uslub dakwah sangat luas dan tiada batas lebih-lebih lagi di era kecanggihan ICT ini.  Terbukti melalui sirah Rasulullah SAW bahawa seorang Yahudi buta yang sering menyakiti Baginda telah memeluk Islam disebabkan cara Baginda memberi layanan terhadap si Yahudi tersebut.  Dan di dalam peristiwa pembukaan kota Makkah, ramai penduduk Makkah telah masuk Islam juga disebabkan akhlak Rasulullah dan keadilan Islam yang dilaksanakan oleh Baginda.   
Kesimpulannya, marilah kita menyedari kewajiban kerja dakwah ini.  Setiap dari kita wajib melakukan kerja-kerja dakwah, menurut kemampuan masing-masing.  Jika kita seorang pengurus, kita mungkin mampu berdakwah kepada pekerja bawahan kita.  Jika kita seorang guru, kita mungkin mampu mendakwah anak-anak murid kita.  Paling kurang, sebagai ibu dan bapa, kita tentu sekali mampu mendakwah anak-anak kita. 

Kita juga perlu menyedari bahawa oleh kerana kerja dakwah ini sangat penting, ianya tidak wajar dilakukan secara semborono atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.  Ulama telah menggariskan beberapa syarat dan rukun dakwah yang perlu dipatuhi.  Jika solat yang merupakan perkara terpenting itu ada syarat dan rukun, dakwah pun sama.  Sama seperti solat, jika tak cukup syarat dan rukunnya, dakwah jadi tak sah.  Di samping itu, dakwah perlu kepada kepakaran, sistem yang teratur, strategi yang bersesuaian, perancangan yang teliti dan seumpamanya.  Kalau tidak kerja dakwah tidak akan mendatangkan natijah yang baik.  Lebih-lebih lagi untuk menyeru orang bukan Islam kepada Islam.  Bukan semua orang mampu untuk berdakwah kepada non-muslim sepertimana bukan semua orang boleh jadi salesman yang baik.  Silap gaya bukan setakat tak boleh jual produk, orang tadi dah jadi phobia pula dengan produk tersebut sehingga apabila datang jurujual lain, dia akan tolak mentah-mentah. 

Oleh kerana kemampuan kita untuk berdakwah secara bersendirian agak terbatas, kita boleh melakukannya secara berkumpulan atau berjamaah.  Dalil tentang dakwah secara berpuak atau berjamaah ini adalah firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 104:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Menurut Tafsir al-Jalalain, kalimah ‘al-khair’ (kebajikan) yang disebut dalam ayat ini bermaksud Islam. Dalam hadis pula, Rasulullah s.a.w. menerangkan ‘al-khair’ yang tersebut dalam ayat ini adalah ‘menurut ajaran al-Quran dan sunnahku’.

Justeru, sertailah organisasi atau jemaah yang meletakkan dakwah sebagai satu agenda yang utama. Organisasi atau jemaah tersebut juga mestilah memiliki ciri yang menepati rukuh-rukun dakwah yang digariskan oleh ulama.  Di negara kita, antara jemaah yang menepati ciri-ciri tersebut adalah Parti Islam SeMalaysia (PAS).  PAS bukan sebuah parti politik semata-mata seperti tanggapan sesetengah pihak, tetapi PAS adalah sebuah pertubuhan yang menggunakan politik sebagai satu wasilah kepada dakwah.  Ini dijelaskan di dalam Fasal 6, perkara 1 perlembagaan PAS:

Menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

WAllahua’lam.

Cetusan Hati
23 Syawwal, 1431H

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...