Setelah 13 tahun menyampaikan risalah tauhid kepada masyarakat Makkah yang diselimut tebal dengan kejahilan dan keangkuhan, tribulasi dakwah Rasulullah SAW telah sampai ke kemuncaknya. Dakwah yang bermula dengan isteri tercinta Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid, ahli keluarga terdekat dan golongan lemah kini telah menjalar kepada pelbagai lapisan termasuk golongan bangsawan Quraisy. Bahkan pengaruh Islam kini sudah merebak ke luar dari kota Makkah dengan termeterainya perjanjian Aqabah antara Rasulullah S.A.W dengan penduduk Yathrib. Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W ini telah mencemaskan kaum kafir Quraisy. Abu Jahal dan pembesar-pembesar Quraisy seperti Utbah bin Rabi’ah, Ubay bin Khalaf, Walid bin Mughirah mula merasa tercabar. Mereka kini nekad untuk menghentikan dakwah Rasulullah S.A.W untuk kesekian kalinya.
Pada hari itu mereka berkumpul di Dar Al-Nadwah untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi menentukan tindakan yang perlu dilakukan terhadap Rasulullah S.A.W. Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Iblis yang menyamar diri sebagai seorang tua. Iblis yang berada ditengah mereka berkata-kata memulakan bicara;
“Perhatikan benar-benar keadaan orang itu (Nabi S.A.W). Demi Allah, tidak lama lagi pasti ia dapat mengalahkan kalian dalam segala urusan.”
Mendengarkan demikian, keluarlah usul untuk menangkap dan memenjarakan Nabi S.A.W dalam ikatan yang kuat sehingga mati sepertimana yang pernah mereka lakukan kepada beberapa penyair mereka sebelum itu. Mendengar usul ini Iblis yang berupa seorang tua itu berkata-kata lagi kali ini dengan nada membantah,
“Pendapat itu tidak benar. Demi Allah dia akan dikeluarkan oleh Tuhannya, kembali kepada sahabatnya, kemudian menyerang dan mengusir kamu dari negerimu ini!”
Lalu jawab orang yang hadir, “Benar kata orang tua itu. Cuba usulkan yang lain!”
“Usirlah ia dari tengah-tengah kamu, asingkan dia ke lain tempat supaya kamu aman darinya sebab jika ia berbuat apa-apa di lain tempat kamu tidak apa-apa.”
Sekali lagi Iblis yang berupa orang tua itu membantah,
“Demi Allah pendapat itu kurang tepat. Tidakkah kalian merasakan manis bicaranya dan lancar lidahnya yang dapat menawan hati pendengarnya. Demi Allah, jika kalian membiarkannya, lalu ia berleluasa melakukan propaganda kepada lain-lain bangsa Arab, pasti mereka akan bersatu membantunya kemudian datang mengusir kamu dan membunuh tokoh-tokoh kamu.”
Jawab hadirin, “Benar kata orang tua itu. Kerana itu ajukan usul yang lain.”
Maka berkatalah Abu Jahal, “Demi Allah aku akan mengusulkan kepadamu sesuatu yang aku kira kamu belum sampai ke situ hingga kini dan aku tidak merasa ada usul yang seperti ini.”
Hadirin bertanya, “Apakah usul itu wahai Abal Hakam?”
Lantas Abu Jahal berkata, “Kamu harus memilih daripada setiap suku kabilah seorang pemuda yang tangkas gagah berani, lalu diberikan kepadanya setiap seorang satu pedang. Kemudian semua pemuda itu berkumpul untuk menikam Muhammad secara serentak dan darahnya terperecik pada semua kabilah. Dengan itu Bani Hasyim tidak akan dapat memerangi bangsa Quraisy seluruhnya untuk membalas dendam. Sebaliknya mereka akan berpuashati dengan hanya menerima bayaran gantirugi dan kami merasa tenang daripadanya.”
Mendengar usul daripada Abu Jahal ini orang tua itu langsung berkata, “Inilah usul yang terbaik. Pendapat yang terbaik ialah yang dikatakan oleh orang ini dan tidak ada pendapat yang lebih baik daripada itu.”
Maka bersurailah mereka daripada mesyuarat yang penuh dengan kejahatan itu dengan tekad untuk melaksanakan usul membunuh Rasulullah SAW. Jibril A.S mendatangi Rasulullah SAW menyuruh baginda supaya tidak bermalam di rumah baginda pada malam itu bahkan Ali bin Abi Talib pula disuruh tidur di tempat baginda. Kemudian turunlah wahyu daripada Allah SWT memerintahkan Rasulullah S.A.W untuk berhijrah ke Madinah.
Rancangan jahat kaum musyrikin itu telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Anfal, ayat 30:
“Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”
Hijrah yang berlaku kepada Rasulullah S.A.W 1,432 tahun yang silam adalah suatu peristiwa yang sangat besar dan penting di dalam riwayat hidup baginda S.A.W. Justeru amat wajar bagi kita umat Islam untuk mengingati, mengkaji dan menghayati peristiwa hijrah dan riwayat hidup Rasulullah S.A.W, terutamanya ibrah atau pengajaran penting yang boleh diambil daripadanya. Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti telah menukilkan kata-kata berikut di dalam kitab beliau yang masyhur Fiqh al-Sirah:
“Tujuan mengkaji riwayat hidup RasuluLlah dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Oleh yang demikian tidak seharusnya kita menganggap kajian sejarah hidup RasuluLlah ini sama dengan membaca dan menala’ah sejarah para pemerintah (khalifah) di zaman purbakala. Tujuan pokok dan kajian yang dimaksudkan ialah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin (defakto) Islam semuanya teradun di dalam penghidupan RasuluLlah itu sendiri. Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebih dahulu. Tegasnya kajian riwayat hidup RasuluLlah SallaLlahu ‘a1aihi Wasallam ini adalah suatu usaha
mengumpul hakikat dan intisari dasar-dasar Islam kemudian memadan dan menyesuaikan dengan contoh Islam iaitu Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alabi Wasallam.”
Hijrah adalah suatu titik tolak penting kepada penyempurnaan Islam. Kejayaan yang paling besar dalam hijrah ialah pembentukan kerajaan yang dapat mentadbir negara berpandukan ajaran Islam yang bertujuan untuk membawa kemaslahatan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Kegiatan politik dan pemerintahan Islam di Madinatul Munawwarah telah menjadi asas dan teras yang paling kukuh dalam mendaulatkan sistem hidup Islam yang syumul (menyeluruh) meliputi perlembagaan, pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan, ketenteraan, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Allah S.W.T juga telah mewajibkan kita melaksanakan kerja-kerja amar ma’ruf dan nahi munkar. Tanggungjawab tersebut tidak dapat disempurnakan kecuali dengan wujudnya kekuatan, kuasa pemerintahan dan kepimpinan yang soleh.
Sirah Rasulullah S.A.W juga mengajar kita bahawa sesungguhnya dakwah yang dilaksanakan ke atas penguasa yang menolak Islam pasti akan menemui tentangan yang maha hebat. Para penguasa, dengan kekuasaan, kekuatan dan keangkuhan yang ada pada mereka, pasti akan menekan para pendakwah sampai kepada peringkat menangkap, mengusir dan membunuh. Justeru, penolakan dan penentangan terhadap para penguasa sebegini adalah suatu tindakan yang bukan sahaja boleh diterima akal tetapi dibolehkan oleh syarak berdasarkan ijtihad ulama masa kini. Di dalam konteks negara kita hari ini, penentangan dan penolakan boleh dilakukan dengan cara undian di dalam pilihan raya.
Kedatangan awal Muharram lebih wajar disambut dengan menyemarakkan kembali semangat Hijrah dan perjuangan Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda yang diredhai. Tribulasi demi tribulasi yang dihadapi tidak mematahkan akidah dan semangat juang mereka untuk mendaulatkan Islam sehingga cahaya agama ini sampai kepada kita 1,432 tahun kemudian. Adalah malang apabila kita hari ini hanya sibuk dengan doa awal tahun dan bubur Asyura sahaja.
Cetusan Hati
01 Muharram, 1432H.
No comments:
Post a Comment