Tuesday, November 16, 2010

Terimalah Daripada Kami...

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).  Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”  (Al-Kauthar, 1-2)

“Tiada satu amalan anak Adam yang dilakukan pada hari penyembelihan (Hari Raya `Idul Adha) yang lebih dicintai oleh Allah berbanding menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah itu pasti tumpah daripada (redha) Allah di sesuatu tempat sebelum ia tumpah ke atas bumi, maka perelokkanlah diri dengannya.”  (Hadis Tirmizi)
Bagi seorang hamba Allah, dua dalil di atas sudah cukup untuk melonjakkan kemahuan di hatinya untuk melakukan ibadat korban.   Dia tidak akan melepaskan peluang yang dibentangkan di hadapannya.  Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mempastikan dia dapat berkorban walau satu bahagian.  Dia sanggup menabung RM1 sehari.  Kalau ada manusia yang sanggup menghabiskan RM10 sehari untuk sebungkus rokok yang akan membunuhnya, apalah sangat RM1 sehari untuk mendapat cinta yang paling agung.  Atau dia mungkin tidak akan membeli akhbar harian kegemarannya dan hanya membaca akhbar di perpustakaan atau internet saja.  Atau dia mungkin tidak makan tengahari hanya untuk 2 hari di dalam seminggu dengan berpuasa sunat Isnin dan Khamis.  Atau dia terpaksa melupakan sepasang baju sutera atau songket Terengganu untuk isteri tersayang.  Dia akan fikirkan cara-cara yang munasabah untuk dia menyediakan RM360 setahun bagi tujuan korban.  Yang penting, dia harus berkorban!  Dan dia yakin Allah SWT akan membantu untuk mempermudahkan rezekinya kerana niatnya yang ikhlas untuk berkorban kerana Allah.
Segala puji-pujian bagiMu Allah kerana mengurniakan kepada kami harini, 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) sebagai peluang untuk kami melakukan ibadat korban.  Kami menyembelih haiwan-haiwan ternakan sebagai tanda syukur kami di atas kebaikan yang banyak yang Engkau telah kurniakan kepada kami.  Kami juga melakukan korban ini untuk mendapat cintaMu kerana ia adalah amalan yang paling Engkau cintai pada hari-hari ini. Jadikanlah korban kami yang tidak seberapa ini sebagai pencetus untuk kami melakukan korban-korban yang lebih besar bagi meninggikan agamaMu.  Jadikanlah ia sebagai penebus kepada dosa-dosa yang telah kami lakukan.  Dan jadikanlah korban kami ini sebagai saksi yang akan membahgiakan kami di akhirat nanti.
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.  Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya.  Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-yang berusaha supaya baik amalnya.”  (Al-Hajj, 37)
 Ya Allah! Ini daripadaMu dan untukMu, maka terimalah daripada kami.
Cetusan Hati
10 Zulhijjah, 1431H.

Saturday, November 13, 2010

Selidik Sebelum Sebar


Beberapa bulan lalu seorang teman telah menerima sepucuk email yang mendakwa bahawa JAKIM telah menggantung Sijil HALAL yang dikeluarkan kepada sebuah pusat sembelihan yang membekal daging kepada Mc Donalds. Dengan niat yang tulus dan baik, teman tersebut telah memanjangkan email tadi kepada rakan-rakan beliau termasuk saya. Selang beberapa hari, JAKIM telah mengeluarkan kenyataan rasmi di laman web mereka menafikan dakwaan tersebut. Dengan rasa kesal dan penuh tanggungjawab, teman tadi telah terpaksa pula menyebarkan satu lagi email untuk membetulkan 'kerosakan' yang telah dilakukannya.

Arakian, beberapa minggu yang lalu seorang hamba Allah telah meletakkan satu risalah di papan kenyataan masjid di tempat saya. Di dalam risalah tersebut disertakan gambar-gambar berikut:





Di samping gambar-gambar di atas, ditampal juga senarai barang-barang yang didakwa tidak HALAL:

SENARAI BARANG YANG MENGANDUNGI LEMAK BABI
> 1. Minyak Masak LAM SOON ( Cap Helang & Buruh )
> 2. Ubat Pearl Cream Arche ( Thailand )
> 3. Ajinomoto ( Thailand )
> 4. Ais Krim Harga RM1.00 ke atas
> 5. Semua tauhu buatan Orang Cina
> 6. Sabun LUX & Lotion Badan Buatan Malaysia , USA , & Thailand
> 7. Sabun FAB berbuku
> 8. Lobak Jeruk
> 9. Mee & Kueteow basah ( buatan Cina)
> 10. Krim Muka Hazeline Snow

SENARAI BARANG YG MENGANDUNGI ( KULIT BABI, URI & BINATANG YANG TIDAK HALAL)
> 1. Semua Jenis Serbuk Mee Segera Terutama Maggi
> 2. Pucuk , Kulit Popia, Fish Cake & Bebola Ikan buatan Orang Cina
> 3. Daging Burger Import
> 4.. Sardin, Kari Ayam dlm tin & Yong Taufu buatan Orang Cina
> 5. Kasut Bola Jenis ' Gold Cup'
> 6. Berus Gigi Jenis ' Reach'
> 7. Mee Kering ( sanggol ) 15.Mee Rebus Tulang&Kiub Perasa Ayam
> 8. Semua sabun mandi yang diimport
> 9. Ajinomoto kecuali keluaran Kilang Lot 5710 Jalan Kuchai Lama KL
> 10. Semua jenis shampoo kecuali keluaran Orang Islam
> 11. Have Pearl Cream
> 12. Ramuan Kentucky Fried Chicken & Mc Donald
> 13. Ubat Kurap buatan Org Cina
> 14.. Beehon Segera
Siam

> 16. Sabun Mandi Yang Berminyak

SENARAI BARANG YANG MENGANDUNGI GELATIN ( LEMAK BABI DAN BINATANG TIDAK HALAL )
> 1. Bosset Wine
Gum

> 2. Dairy Milk Coklat
> 3. Coklat Cadbury/ Chewing Gum
> 4. Sugus
Strawberry

> 5. Passer Doily Mixture
> 6. Trebo Mint Chewing Gum/ Peppermint
> 7. Scothes Vikmin
> 8.
Share Extra Atrenght
> 9. Black Current Jelly
> 10. Royal Gulaman & Decart Oranges
> 11. Valvis Gelatin
> 12. Sarung Kapsul Ubat
> 13. Ais Krim dalam bekas plastik
> 14. Gula-gula Fruities
> 15 Cake Mets Vilber Punch
> 16 Coklat Cake
> 17 Tepung Kastard Lady's
Choice

> 18 Semua jenis Jelly
> 19 Semua jenis gincu bibir
> 20 Keseluruhan Jenis Sheisedo
> 21 Lady's Choice Jelly

> SENARAI BARANG YANG MENGANDUNGI ALKOHOL UNSUR-UNSURNYA
> 1 BARANGAN AVON KESELURUHANNYA
> 2 PEWANGI KETIAK TERUTAMA JENAMA VITALIS & CONCORD
> 3 MINYAK RAMBUT BRYLCREAM ( HIJAU )
> 4 RACUN SERANGGA JENIS
SPRAY SEPERTI SHIELDTOX, BAYGON & MORTIN
> 5 SELURUH UBAT BATUK JENIS SIRAP
> 6 KESELURUHAN BALL PEN DAKWAT KERING
> 7 TONIK BAYI
GRAPE
WATER, TONIK WATERBERRY COMPOUND

Kami dalam keresahan memohon ampun dan maaf terlewat memberutahu perkara di atas. Pastikan Pakaian anda tidak terkena bahan-bahan diatas terutama pakaian sembahyang. TOLONG CETAK DAN EDARKAN RISALAH INI KPD SEMUA SAUDARA ISLAM KITA.

Confirm - Pringles Potato Chips - tidak HALAL !!


Gambar-gambar dan senarai barangan seperti di atas telah ditampal ke papan kenyataan masjid bertujuan untuk memberi mesej kepada pengguna-pengguna Islam bahawa Burger King dan produk-produk yang disenaraikan itu tidak HALAL dan umat Islam wajib menjauhinya. Pada saya, perbuatan ini adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab, walaupun si pembuatnya berniat baik. Pertamanya tidak dinyatakan siapa yang menyebarkan maklumat tersebut dan sumber daripada mana maklumat-maklumat tersebut diperolehi. Gambar-gambar itu mungkin saja telah di rakam di luar Malaysia. Maklumat yang dinyatakan juga amat meragukan dan 'menggelikan hati', contohnya aiskrim di dalam bekas plastik di hukum sebagai mengandungi gelatin???

Umum mengetahui bahawa pihak yang berautoriti untuk menentukan status HALAL atau tidak sesuatu produk di negara kita ini ialah JAKIM. Sebarang risalah atau sebaran yang dikeluarkan berkenaan status HALAL sesuatu produk oleh pihak selain daripada JAKIM wajar diselidik dan disahkan sebelum ianya disebarkan kepada umum. Sepertimana ketika kita menentukan tarikh permulaan puasa Ramadhan dan Hari-hari Raya, pihak yang berautoriti di dalam hal ini adalah Majlis Raja-Raja Malaysia. Hanya kenyataan rasmi daripada mereka sahaja yang layak dipercayai. Jika ada seseorang memberitahu kita bahawa Hari Raya Haji jatuh pada tarikh sekian-sekian, kita secara spontan akan bertanya balik "Adakah penyimpan mohor besar Raja-Raja telah membuat pengumuman?" Oleh itu, di dalam hal HALAL/HARAM sesuatu produk ini, bila ada pihak yang menyatakan suatu produk itu tidak HALAL, kita patut bertanya "Adakah JAKIM yang kata begitu?" Kita juga boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak JAKIM.

Islam adalah satu agama yang sempurna. Justeru, Islam telah menetapkan kepada umatnya beberapa peraturan di dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi yang diistilahkan sebagai syariat. Jika syariat ini dipatuhi, hidup manusia akan sejahtera dan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Jika sebaliknya, hidup manusia akan jadi porak peranda. Begitulah di dalam menentukan HALAL atau HARAM sesuatu perkara, syariat Islam telah menetapkannya. Sebarang hukum yang ditentukan dengan tidak berpandukankepada syariat bakal membawa implikasi yang sangat buruk. Berkata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitab beliau "Halal dan Haram Dalam Islam":

Dan kalau Islam telah mengecam terhadap orang-orang yang mengharamkan dan menghalalkan keseluruhannya, namun ia telah mengkhususkan orang-orang yang suka mengharamkan itu dengan kecaman yang lebih kuat dan lebih berat, memandangkan apa yang terdapat pada tujuan ini ada semacam pengungkungan ke atas manusia dan penyempitan terhadap apa yang diluaskan Allah kepada mereka tanpa ada sebab yang memaksa. Dan kerana hal tersebut hanya memenuhi kehendak-kehendak setengah ahli agama yang keterlaluan saja. Padahal Rasulullah SAW pernah membanteras tuntutan perasaan keterlaluan dan pengerasan dengan segala macam senjata, serta mencela orang-orang yang keterlaluan itu, dan memberitahu mereka dengan sabdanya:

"Biarlah binasa orang-orang yang keterlaluan itu! Biarlah binasa orang-orang yang keterlaluan itu! Biarlah binasa orang-orang yang keterlaluan itu!" (Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

Kemudian baginda mengisytiharkan tentang kesederhanaan dalam perutusannya itu dengan sabdanya:
"Saya diutus dengan membawa suatu agama yang penuh toleransi." (Riwayat Ahmad)

Maka dia adalah teguh dalam aqidah dan tauhidnya, bersifat toleransi dalam segi amal dan undang-undangnya. Lawan dari kedua-duanya ini adalah syirik dan mengharamkan yang halal, dan kedua-dua inilah yang disebutkan oleh Nabi SAW pada apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Berkat dan Maha Tinggi, yakni dalam sebuah hadith Qudsi, berbunyi:

"Aku telah menciptakan hamba-hambaKu itu dalam keadaan bersikap lurus, dan sesungguhnya mereka telah didatangi syaitan-syaitan, lalu membengkokkan mereka dari agama mereka, dan mengharamkan ke atas mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka serta menyuruh mereka supaya menyekutukan Aku dengan sesuatu yang Aku tidak turunkan keterangan padanya."

Justeru, berhati-hatilah di dalam perkara ini. Selidik dahulu sebelum sebar!


Cetusan Hati
06 Zulhijjah, 1431H

Sunday, November 7, 2010

Hak Yang Tidak Ditunaikan

Sekonyong-konyong, khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh Terengganu pada hari ini (5 Nov 2010) membicarakan isu daftar pemilih yang beberapa bulan lalu telah menjadi satu isu hangat negara.   Seperti dilaporkan BERNAMA pada 18/1/2010, Timbalan Pengerusi  SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar mendedahkan bahawa sehingga akhir 2009, kira-kira 28% atau 4.39 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas yang layak menjadi pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih, dan kira-kira 65% daripada mereka adalah Bumiputera iaitu Melayu dan Etnik Sabah dan Sarawak.   SPR juga menyatakan bahawa menurut kajian mereka ramai yang suka menunggu hingga ke saat-saat akhir sebelum pilihan raya untuk mula mendaftar.  Oleh kerana proses pendaftaran biasanya mengambil masa beberapa bulan, SPR tidak memberi jaminan bahawa mereka yang mendaftar akan berjaya tersenarai sebagai pemilih berdaftar dan layak mengundi. 
Pendedahan ini telah menimbulkan reaksi pelbagai pihak yang rata-rata melahirkan rasa bimbang jika senario ini kekal, mungkin suatu masa nanti kaum Melayu akan hilang kuasa politik di tanahair sendiri.  Ada juga yang curiga dan merasakan bahawa pendedahan ini hanya sekadar mainan politik pihak-pihak tertentu yang ingin membangkitkan semangat orang-orang Melayu.  Malah ada juga segelintir puak yang tidak ambil kisah langsung.   Walaubagaimanapun, SPR telah mengambil beberapa langkah drastik dan proaktif untuk mempastikan semua yang layak mendaftar berbuat demikian dengan segera.  Antaranya dengan menyediakan kaunter-kaunter pendaftaran bergerak dan kempen kesedaran di seluruh negara.   Khutbah Jumaat hari ini adalah satu cara yang berkesan untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Melayu Islam untuk mendaftar sebagai pemilih.  Justeru,  SPR ini harus diberikan pujian.  Syabas SPR!
Berdasarkan pendedahan ini timbul satu persoalan, apakah sebabnya ramai rakyat Malaysia berbangsa Melayu kurang mengambil berat untuk mendaftar sebagai pengundi berbanding dengan bangsa-bangsa lain?  Pada hemat saya, ada dua sebab besar yang ingin saya bincangkan di ruang yang terhad ini.
Sebab yang pertama; menganggap bahawa urusan mendaftar sebagai pemilih ini tidak penting kerana ianya tidak ada kena mengena dengan kehidupan seharian mereka.  Tanpa mendaftar pun mereka masih dapat cari makan, bergerak ke sana ke mari dan melakukan aktiviti seharian mereka tanpa apa-apa had dan batasan.  Jadi apa perlu mereka mendaftar?  Bagi golongan ini saya ingin menarik perhatian anda begini.  Jika anda mendaftar sebagai pemilih, anda layak untuk mengundi dan memilih pemimpin di daerah mengundi atau kawasan Parlimen anda.  Perkara ini termaktub di dalam Bahagian VIII Perlembagaan Persekutuan.  Parti politik yang memiliki jumlah kerusi majoriti di Dewan Rakyat atau Parlimen tersebut mendapat mandat untuk membentuk kerajaan persekutuan.  Sekarang, katakan bermula 1 Januari 2011 nanti, kerajaan akan menaikkan harga barang-barang keperluan harian seperti petrol, beras, gula, gandum dan sebagainya sebanyak 50% daripada harga sekarang.  Masihkan anda merasakan bahawa anda tidak perlu mendaftar untuk memilih wakil untuk menyuarakan masalah anda di Parlimen?  Mungkin jawaban anda ya sebab anda berpendapatan 5 angka dan kenaikan tersebut tidak membawa apa-apa kesan kepada anda.  Baiklah, untuk anda katakan kerajaan  telah menetapkan kadar cukai pendapatan sebanyak 50% bagi kumpulan yang berpendapatan RM10 ribu ke atas berkuatkuasa serta-merta.   Ini untuk menampung defisit bajet 2011 dan kos pelbagai projek mega yang tidak perlu dan tidak memberi manafaat kepada rakyat.  Bermakna, jika gaji anda RM10 ribu sebulan, anda hanya memperolehi pendapatan kasar RM5 ribu kerana RM5 ribu lagi diambil oleh kerajaan.  Masihkan anda merasakan bahawa anda tidak perlu mendaftar untuk memilih wakil untuk menyuarakan pendapat anda di Parlimen?  Kalau jawaban anda masih ya, saya tinggalkan anda di situ.  Saya akan kembali mungkin setelah anda atau orang yang anda kasihi ditahan (tanpa bicara) di bawah ISA.
Sebab yang kedua; menganggap bahawa pilihan raya adalah suatu perkara yang tidak ada kena mengena dengan Islam, bahkan ianya adalah suatu kaedah yang bercanggah dengan syariat Allah SWT.  Golongan ini walaupun mungkin tidak ramai tetapi jumlahnya semakin bertambah dari hari ke sehari.  Dengan adanya teknologi internet, para pelopor mereka menggunakan laman blog dan email untuk mempengaruhi umat Islam agar tidak melibatkan diri dengan politik kepartian dan pilihan raya.  Ada di antara para pelopor ini berkelulusan sarjana dan doktor falsafah di dalam bidang agama menyebabkan lebih ramai yang mudah terpengaruh terutama mereka yang daripada kalangan intelek yang cenderung kepada agama.  Antara hujah utama mereka ialah Islam itu agama yang suci manakala politik ala demokrasi yang dicipta Barat itu penuh dengan kekotoran.  Justeru Islam dan demokrasi tidak boleh diletakkan di dalam satu bekas.  Hujah mereka lagi, apabila seseorang Islam itu terlibat di dalam politik dan pilihan raya, orang itu akan terjerumus ke dalam lembah maksiat kerana mencaci dan menghina saudara Islam yang lain.  Di samping itu lahir perpecahan di kalangan umat Islam yang berbeza parti politik.   Kesemua ini adalah perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan syariat Allah.  Oleh kerana hujah-hujah seperti ini datang daripada sarjana-sarjana Islam, saya serahkan kepada sarjana Islam juga untuk menjelaskan dan menjawabnya.  Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, seorang sarjana Islam berkelulusan B.A (Syariah) Universiti Islam Madinah dan M.A (Siyasah Syariah) Universiti al-Azhar,  yang juga merupakan seorang ahli politik yang tidak perlu diperkenalkan lagi, telah menulis sebuah buku bertajuk Islam & Demokrasi yang menghuraikan masalah Islam, politik dan demokrasi ini.  Bacalah buku ini dengan hati yang lapang dan terbuka.  Moga hati anda disinari keikhlasan penulisnya yang mengorbankan seluruh kehidupannya untuk Islam dan umat ini.  Beliau dan rakan-rakan seangkatan tidak pernah hidup walau sesaat di bawah ehsan pemerintah malah beliau sentiasa hidup dibawah tekanan pemerintah.   Berbanding sesetengah sarjana yang mendakwa mereka pejuang manhaj salafussoleh tetapi di dalam masa yang sama mengambil jalan yang bertentangan dengan para ulama salaf sendiri.  Ulama salaf seperti Imam Malik tegas menjauhi pintu-pintu istana pemerintah namun para sarjana ini ada yang tinggal di dalamnya.
Kepada golongan yang menolak pilihan raya sebagai satu juzuk daripada agama Islam yang syumul, saya cadangkan anda lapangkan dada dan fikiran sejenak dan baca artikel ini terlebih dahulu http://www.zaharuddin.net/politik-&-dakwah/55/76-memahami-politik-islam.html .  Kemudian, jika anda sudah bersetuju bahawa wujudnya politik dan pemerintahan di dalam ajaran Islam, fikirkan persoalan berikut; bagaimanakah caranya untuk memilih pemimpin yang dapat mentadbir urusan manusia dengan ad-deen atau agama Allah di dalam konteks bernegara sekarang ini, contohnya di Malaysia?  Sekali lagi, menurut perlembagaan negara Malaysia, lebih spesifiknya Bahagian VIII, sebagai warganegara kita mempunyai hak eksklusif untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita.  Itu sahaja jalan yang ada.  Jika anda tidak mahu mengambil jalan ini kerana berkeyakinan penuh bahawa ianya tidak Islamik dan anda berpegang teguh dengan prinsip “matlamat tidak menghalalkan cara”, sila cadangkan cara lain yang Islamik.  Atau anda hanya berpuashati untuk menyerahkan urusan pemilihan pemimpin ini kepada rakyat-rakyat lain yang tidak warak seperti anda.  Kemudian apabila pemimpin dan kerajaan yang terpilih itu dari kalangan mereka yang melakukan kemungkaran atau kerosakan, anda akan cegah dengan lisan secara memberi teguran dan nasihat yang berhikmah melalui tulisan di blog anda yang 100% bebas daripada maksiat, tidak sepertimana kempen-kempen pilihan raya.  Di dalam masa yang sama, anda menjalankan kerja-kerja dakwah menurut cara Islam yang sebenar dan asli pada pandangan anda, iaitu melalui tulisan di blog yang suci bersih tadi.  Andaikan, entah bagaimana, anda tidak ditangkap di bawah ISA atau lain-lain akta oleh pemimpin yang melakukan kemungkaran dan kerosakan yang anda tegur atau nasihatkan melalui blog anda tadi.  Sekarang apabila bilangan rakyat Malaysia yang bersama-sama dengan anda sudah cukup ramai termasuk daripada kaum Cina dan India, anda akan kerahkan mereka ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, antaranya menuntut supaya di lantik pemimpin yang benar-benar mentadbir dengan ad-deen.  Itupun setelah anda berjaya sampai ke pintu pagar Istana Negara kerana polis, FRU dan tentera semuanya sudah berjaya anda dakwahkan untuk bersama-sama dengan anda.

Syeikh Yusof al-Qaradawi menyatakan di dalam kitab beliau Fiqh al-Awlawiyyat, apabila kadar kemanfaatan dan kebaikan lebih besar dan lebih banyakdaripada kadar kerosakan dan kemudaratan di dalam satu masalah, maka masalah tersebut diharuskan dan dibolehkan menurut pandangan syari'at Islam.  Adapun faktor kerosakan dan kemudaratan yang sangat sedikit tadi dikira tidak ada dan mesti diabaikan.

Para ulama usul telah menetapkan beberapa kaedah dan panduan berikut:

"Mencegah kerosakan mesti diutamakan daripada memetik kemaslahatan (kebaikan)."

Kemudian kaedah tersebut dilengkapkan dengan kaedah berikut:

"Melakukan al-Mafsadah (kerosakan) yang kecil dibolehkan demi untuk mendapatkan kemaslahatan (kebaikan) yang besar."

Dengan berpandukan kepada kaedah di ataslah, ulama telah mengharuskan membunuh saudara seIslam yang dijadikan perisai manusia oleh musuh Islam walaupun pada asalnya membunuh itu haram hukumnya.  Menyertai pilihan raya tidaklah sampai ke peringkat membunuh manusia.

WAllahua'lam.

Cetusan Hati
28 Zulkaedah, 1431H.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...