Saturday, July 9, 2011

Yang Batil Pasti Lenyap

Pertembungan di antara yang Hak (Benar) dan Batil (Salah) telah menjadi sunnatullah sejak awal kehadiran manusia di atas muka bumi ini.  Bertitik tolak dari kisah Qabil dan Habil, berterusan dengan siri-siri pertembungan di antara para Rasul 'alaihimussalam dengan penentang-penentang mereka, sehinggalah ke akhir hayat dunia ini.  Allah S.W.T telah mentakdirkan bahawa golongan yang menentang para Rasul yang membawa kebenaran itu adalah golongan yang berkuasa.  Nabi Ibrahim A.S ditentang oleh sang raja Namrud, nabi Musa A.S oleh sang Firaun dan Nabi Muhammad S.A.W oleh para pembesar Quraisy.

Hakikat ini juga sedang berlaku di hadapan mata kita.  Sang penguasa yang sudah sekian lama memegang tampuk kuasa di atas dasar kebatilan, berdarah dagingkan kebatilan dan meneruskan agenda-agenda kebatilan.  Mereka dengan angkuh dan rakus menekan dan menindas golongan yang menentang mereka.  Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kebatilan yang mereka pertahankan. Hari ini mereka pedihkan kulit, mata dan hati kita.  Mungkin esok mereka akan menumpahkan darah-darah kita.  Mereka melakukan apa yang mereka lakukan bukan kerana warna baju yang kita pakai, tetapi kerana unggun kebenaran yang telah kita nyalakan.  Unggun yang pasti akan membakar kebatilan yang mereka pertahankan.  Unggun ini juga bakal menerangi bumi tercinta kita ini dengan keadilan dan kebajikan. 

Wahai para pejuang kebenaran!  Kerana kecintaan dan kebencian kita telah leraikan rantai ketakutan dan kita rempuh tembok-tembok kezaliman.  Tiada lagi ketakutan selepas hari ini.  Dan Allah tuhan semesta alam ada bersama-sama dengan kita.  Dia sedang memerhatikan kezaliman yang mereka lakukan dengan seluruh kekuasaan mereka.  Yakin dan bergembiralah dengan janjiNya.  Katakan kepada mereka,

"Telah datang kebenaran, dan hilang lenyaplah yang batil; sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap."  (al-Israa', 81)

Cetusan Hati
07 Syaaban, 1432
bersamaan 09 Julai, 2011.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...