Friday, September 17, 2010

Boleh Makan atau Tak Boleh Makan?

Seorang pelajar mengadu terdapat kawan-kawan di asrama sekolahnya yang sering menegur kawan yang lain yang gemar memakan cokelat berjenama terkenal.  Kata yang menegur cokelat tersebut mengandungi bahan E471 yang bersumberkan haiwan atau binatang yang diharamkan.  Bahkan ada yang turut mendakwa semua bahan yang ada E adalah HARAM!  Yang ditegur pula mempersoalkan jika HARAM kenapa pula ada logo HALAL JAKIM. 

Seorang pengedar ayam organik mengedar risalah untuk mempromosi ayam organik yang dijualnya.  Antara selling point yang digunakan ialah ayam-ayam yang dijual oleh syarikatnya hanya diberi makan makanan dari sumber organik yang HALAL dan suci.  Di samping itu, ayam-ayam tersebut juga telah menjalani proses penyembelihan dan pemprosesan yang paling menepati syariat.   Secara tidak langsung, beliau mempersoalkan keHALALan daging-daging ayam yang dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha ayam bukan organik yang tidak mengikut proses yang sama sepertinya. 


Seorang blogger telah mendedahkan di dalam blognya bahawa JAKIM telah menggantung atau menarikbalik sijil HALAL yang dikeluarkan kepada sebuah pusat penyembelihan yang membekalkan daging kepada Mc Donald.  Maka tersebarlah email berantai ke seluruh pelosok negara mempersoalkan status HALAL rangkaian restoran-restoran makanan segera Mc Donald.  Pihak Mc Donald telah hampir serta-merta membuat penafian dan JAKIM juga telah mengesahkan melalui portal halal mereka <klik di sini> bahawa berita yang tersebar itu tidak benar.


Demikianlah antara polemik yang berlaku hampir setiap hari di kalangan masyarakat Malaysia berkenaan HALAL atau tidak sesuatu produk terutamanya makanan.  Polemik yang berlarutan sekelian lama lebih-lebih lagi sekarang ketika kesedaran dan keprihatinan umat Islam terhadap peri pentingnya produk HALAL dan baik berada di tahap maksimum.  Justeru, para pengeluar telah memberikan keutamaan kepada status HALAL produk mereka setanding dengan kualiti produk itu sendiri kerana mereka sedar produk berkualiti tinggi yang tidak ada logo HALAL tidak akan mendapat sambutan dari pengguna Islam.


Walaupun di Malaysia ini kita ada JAKIM, iaitu pihak yang berautoriti untuk mengeluarkan sijil HALAL, masih kedengaran suara-suara keraguan terhadap sijil HALAL yang dikeluarkan oleh mereka.  Status HALAL makanan-makanan kegemaran ramai seperti mee Maggi, Ajinomoto, KFC dan lain-lain terus dipertikai.  Lebih mengelirukan apabila suara ini datang dari pihak yang berpengaruh seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).  CAP di dalam buku panduan HALAL HARAM keluaran mereka menyatakan begini,


“Persoalannya di sini, apakah asas (yang diguna oleh JAKIM) untuk mengatakan produk makanan itu halal, dan memberikan logo halal kepada makanan yang dikelaskan sebagai harus?”


(Sila rujuk buku HALAL HARAM, Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, m.s 23)


Untuk memberi keadilan kepada JAKIM, mari kita lihat secara ringkas bagaimana JAKIM mengeluarkan sijil HALAL kepada sesuatu produk.  JAKIM mempunyai Objektif, Misi dan Visi yang jelas berkaitan produk HALAL.  Mereka juga  ada garispanduan yang jelas di dalam menentukan status HALAL sesuatu produk.  Bahkan JAKIM mempunyai piawai yang didokumenkan sebagai STANDARD MALAYSIA BERKENAAN MAKANAN HALAL (MS 1500:2009).  Sila ke laman sesawang http://www.halal.gov.my/ untuk mendapat maklumat lengkap tentang bahagian HALAL JAKIM.


Kaedah untuk menentukan HALAL atau HARAM sesuatu makanan atau minuman dari sudut fiqh sudah digariskan oleh para ulama muktabar berpandukan nas Al-Quran dan al-Hadith.  Namun di dalam realiti  kehidupan moden harini, untuk menentukan status HALAL sesuatu makanan dan minuman adakalanya memerlukan kepada analisa dan ujian saintifik seperti yang disebut oleh CAP di dalam buku panduan mereka.  Di samping itu, pihak yang bertanggungjawab menentukan status HALAL tersebut juga perlu bebas, telus dan tidak berkepentingan. 


JAKIM adalah badan bebas yang berkelayakan dan bertanggungjawab di dalam menentukan status HALAL sesuatu produk serta mengeluarkan sijil HALAL apabila syarat-syarat untuk mendapatkan status HALAL tersebut telah dipatuhi.  Para pengguna boleh mendapat maklumat tentang status HALAL sesuatu produk daripada mereka dengan mudah samada secara online <klik di sini> atau dengan menghubungi mereka. 

Tidak dinafikan bahawa JAKIM mungkin ada kelemahan di sudut mengawalselia bagi mempastikan pematuhan berterusan kepada sijil HALAL dan tidak berlaku penggunakan logo HALAL secara tidak sah oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.  Kelemahan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menjatuhkan kredibiliti JAKIM secara total.  Sebaliknya para pengguna, samada secara individu atau berpesatuan, boleh membantu JAKIM di dalam mengatasi kelemahan ini.  Untuk tujuan ini, JAKIM telah menyediakan ruang aduan <klik di sini> yang boleh digunakan oleh pengguna apabila ada aduan tentang perlanggaran syarat atau pemalsuan logo HALAL.


Selesai masalah produk yang ada logo HALAL.  Bagaimana pula dengan restoran-restoran kecil, warung-warung, gerai-gerai pasar malam, rumah-rumah sembelihan kecil, dsb yang tidak memiliki sijil dan logo HALAL JAKIM?  Ada pihak menyarankan agar ternak, sembelih dan masak sendiri makanan sebagai jalan keluar tetapi ianya mungkin tidak praktikal terutama bagi mereka yang bekerja sepenuh masa dan tinggal pula di rimba kota KL. 


Oleh itu, jika terpaksa membeli juga, kita boleh buat penilaian mudah dengan memerhati kepada si penjual samada dia seorang yang menepati syariat atau tidak.  Contohnya adakah aurat ditutup dengan sempurna, adakah dia menjaga solat, adakah akhlaknya baik, adakah kebersihan diri dan tempat berniaga menepati piawai, dsb?  Jika semua jawabannya ya, insyaAllah makanan yang dijual juga menepati syariat.  Sebaliknya jika terdapat sebarang perlanggaran syariat oleh si penjual, makanan yang dijual juga boleh diragui.  Dan bila ada keraguan, tinggalkan @ Jangan beli!  Pakailah kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW;


عن أبي محمد الحسنِ بْنِ علِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ سِبْطِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وَسَلَّم وَرَیْحَانَتِ ه
رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ: حَفِظْتُ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : (( دَعْ مَا یَرِیْبُكَ إِلَى مَا
لاَ یَرِیْبُكَ)) رواه الترمذي والنسائي، وقال الترمذي: حدیث حسن صحيح.
Daripada Abu Muhammad al-Hasan ibn Ali ibn Abu Talib r.a., رضي الله عنهما cucu Rasulullah SAW dan orang kesayangan Baginda. Beliau berkata: Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW hadis:Tinggalkanlah apa yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau. Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Nasaai. Al-Tarmizi berkata ia adalah hadis hasan sohih.


WAllahua’lam.


Cetusan Hati
08 Syawwal, 1431H

Monday, September 13, 2010

"Berhati-hati di Hari Raya"

Bagi umat Islam yang telah selesai menjalani ibadat puasa di bulan Ramadhan, Eidul Fitri adalah hari Kemenangan. Dan Kemenangan lazimnya datang seiring dengan Kegembiraan. Benarlah sabda Junjungan SAW yang mafhumnya berbunyi:



“Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia merasa gembira dengan puasanya”.


Gembira adalah satu perasaan yang letaknya di hati. Perasaan gembira ini pula akan dizahirkan oleh anggota jasad. Mata akan bersinar. Bibir akan mengukir senyum. Begitulah anggota-anggota badan lain yang akan menzahirkan perasaaan gembira yang dirasai oleh pemiliknya hati yang sedang bergembira itu dengan cara masing-masing.



Namun, bagi orang-orang beriman, kegembiraan menyambut kemenangan di hari Eidul Fitri akan dizahirkan berserta dengan taqwa.  Jiwa taqwa yang berjaya dibina dan disuburkan di dalam madrasah Ramadhan. Jiwa taqwa tidak akan meraikan Eidul Fitri dengan unsur-unsur yang terlarang. Sebaliknya Eidul Fitri diraikan dengan amalan-amalan sunnah dan yang digariskan oleh syariat.  Hiburan melampau di kaca-kaca TV, pergaulan bebas antara bukan mahram, pendedahan aurat, pembaziran dan perlakuan-perlakuan lain yang melanggar syariat tidak harus menjadi warna-warna kepada Eidul Fitri. Sebaliknya, kemenangan ini patut dirai dengan membesarkan Allah SWT dan Bersyukur (tidak Kufur) kepadaNya sepertimana firmanNya:
 
"Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu Bersyukur".
 
(Al-Baqarah, 185)
 
Jangan dek tersalah cara meraikan kemenangan pertama ini menyebabkan kita gagal untuk merasai kegembiraan ketika meraikan kemenangan yang kedua.
 
Cetusan Hati
04 Syawwal, 1431H
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...