Friday, February 18, 2011

Cinta Yang Berbalas?


“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.A.W), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”  (At-Taubah, 128)

Ummul mukminin A’isyah R.A berkata, Tatkala saya melihat Nabi S.A.W berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.”

Rasulullah S.A.W pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa A’isyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.”

Mendengarnya, A’isyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?”

A’isyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?”

Rasulullah S.A.W bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”

Abu Hurairah R.A pula meriwayatkan, bahawa Nabi S.A.W bersabda, “Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat.”

Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah S.A.W membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim A.S:

“Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat).” (Ibrahim: 36)

Kemudian Baginda S.A.W membaca pula perkataan Nabi Isa A.S:  

“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”  (al-Maidah: 118)

Setelah itu, Nabi S.A.W mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis:

“Ya Allah! Umatku! Umatku!

Lalu Allah berfirman kepada Jibril A.S, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.”

Maka Jibril A.S  menemui Nabi S.A.W, lalu bertanya kepada Baginda S.A.W dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril A.S sebab tangisannya.  Maka Allah berfirman kepada Jibril A.S,

“Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya:  Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau redha pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.”

Demikianlah bukti-bukti cinta dan kasihnya seorang Rasul kepada umatnya.  Tidak ada suatu saat yang berlalu di dalam kehidupan junjungan S.A.W tanpa baginda memikirkan tentang umat.  Hatta ketika berada di ambang kematian yang penuh dengan kesakitan dan kepedihan, nasib umat yang akan ditinggalkan juga yang dirisaukan baginda.

Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda kepada Jibril A.S ketika hampir wafat: “Bagaimana nasib umatku sepeninggalanku nanti?”

Lantas Allah S.W.T telah memberikan wahyu kepada Jibril A.S, “Berikan khabar gembira kepada kekasihKu (Muhammad S.A.W), sesungguhnya Aku tidak akan membiarkan umatnya.  Beritahunya juga bahawa dia adalah orang yang pertama sekali dibangkitkan dari kubur.  Dia akan menjadi pemimpin ketika semuanya berkumpul.  Sesungguhnya syurga haram (dimasuki) umat-umat lain sehingga umatnya masuk ke dalamnya.”

Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda, “Sekarang aku baru merasa lega.”

Cinta dan kasih sayang Rasulullah kepada para sahabat Baginda dan umat tiada tolok bandingannya.  Para sahabat R.A yang hidup bersama-sama dengan Baginda dapat mengecapi cinta Rasulullah S.A.W dan mereka telah membalas cinta itu dengan menjadikan harta dan jiwa raga mereka sebagai maharnya .

Telah diriwayatkan bahawa pada suatu hari, Abu Bakar as-Siddiq R.A berkhutbah di hadapan penduduk Makkah dan menyeru mereka memeluk Islam.  Seperti yang dijangkakan, seruan Abu Bakar R.A itu telah membangkitkan kemarahan pemuka-pemuka Quraisy yang amat benci kepada seruan sebegitu.  Lantaran mereka telah menarik pakaianya serta memukulnya sehingga pengsan.  Apabila telah sedar beliau lantas berkata, “Perlihatkanlah Muhammad kepadaku.”  Apabila ibunya datang bersama Baginda S.A.W di Dar al-Arqam, Abu Bakar berkata, “Wahai Rasulullah, semua penderitaan yang aku alami telah hilang dengan melihatmu.”

Imam Bukhari telah meriwayatkan di dalam peperangan Uhud orangramai telah lari meninggalkan Rasulullah S.A.W kecuali Abu Talhah yang telah menjadikan dirinya sebagai perisai untuk melindungi tubuh Rasulullah S.A.W  daripada terkena tikaman kafir Quraisy.  Di dalam keadaan tersebut Rasulullah S.A.W melihat kepada khalayak ramai yang sedang berperang.  Maka Abu Talhah telah berkata, “Sesungguhnya engkaulah ibu dan bapa bagiku.  Tak usahlah tuan hamba melihat nanti akan terkena panahan musuh.  Biar saja kena leherku bukan leher tuan hamba.”

Demikian juga dengan sahabat-sahabat yang lain seperti Abu Dajanah, Ziad bin al-Sakan, Imarah bin Yazid bin al-Sakan yang berlumba-lumba untuk menjadikan diri mereka perisai untuk melindungi batang tubuh Rasulullah S.A.W yang mulia sehingga ada yang gugur syahid terkena panahan musuh.

Para sahabat R.A telah membalas cinta Rasulullah S.A.W kepada mereka dengan linangan darah dan airmata.   Mereka telah mencapai kesempurnaan iman sepertimana sabda Baginda S.A.W,

“Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia.”

Bagaimana pula dengan kita?  Tentu sekali sukar bagi kita yang  tidak pernah bertemu Baginda S.A.W.  sedang kita juga berada jauh di akhir zaman.  Rasulullah S.A.W pernah bersabda,
“Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku.  Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku.”


Para ulama telah memberikan panduan, antara perkara yang boleh dilakukan oleh kita sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada Rasulullah S.A.W ialah :

·    Mentaati Baginda S.A.W dengan mengikut segala jejak langkah perjalanan hidupnya dalam urusan agama dan dunia
·   Cinta kepada orang yang dicintai oleh Baginda S.A.W dan benci kepada orang yang dibenci oleh Baginda
·    Redha dengan apa yang diredhai oleh Baginda S.A.W dan marah kepada apa yang dimarahi oleh Baginda
·    Menjunjung tinggi Baginda Nabi S.A.W dengan berselawat kepadanya apabila disebut namanya serta mengagungkan segala sifat dan akhlaknya
·    Membenarkan segala apa yang diberitakan oleh Baginda S.A.W samada daripada urusan agama atau dunia
·    Menghidupkan sunnah Baginda S.A.W, menzahirkan syariatnya serta menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan segala pesanan Baginda S.A.W
·    Merendahkan suara ketika berada di sisi maqam Baginda S.A.W dan di dalam masjid Nabawi bagi yang berkesempatan ke sana
·    Cinta kepada ulama dan orang soleh serta setia kepada mereka semata-mata kerana Baginda S.A.W cinta kepada golongan tersebut.
·    Kita juga mesti benci kepada orang fasik serta memusuhi mereka dengan sebab Baginda S.A.W benci dan memusuhi golongan ini

Junjungan Rasulullah S.A.W telah bersabda,  “Seseorang itu bersama orang yang Ia cintai.”

Dan di antara pesanan-pesanan terakhir Rasulullah S.A.W sebelum Baginda wafat meninggalkan umat yang amat Baginda kasihi,

“Ingatlah! Sesungguhnya aku telah mendahului kalian.  Dan kalian semua akan menyusuli aku.  Ingatlah, tempat perjanjian kita adalah di telaga.  Sebuah telaga yang lebih lebar dari jarak Basra Syam dengan San’a Yaman.  Dicurahkan ke dalamnya saluran air al-Kauthar (sebuah telaga di dalam syurga).  Airnya lebih putih dari susu, lebih lembut dari mentega dan lebih manis dari madu.  Batu-batunya adalah permata dan pasirnya adalah haruman.  Barangsiapa meminum air darinya, maka dia tidak akan merasa haus selama-lamanya.  Barangsiapa yang diharamkan (meneguk) airnya maka dia diharamkan dari semua kebaikan.”

Semoga Rasulullah S.A.W menerima cinta kita yang tidak seberapa ini dan kita akan dapat bertemu dengan Baginda S.A.W di tempat yang telah dijanjikan.

Cetusan Hati
18 Rabi'ul Awwal, 1432H

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...