Friday, September 2, 2011

Epilog Ramadhan 1432H

Ramadhan 1432H telah berlalu pergi bersama berbagai emosi.  Ada yang sedih kerana tiada lagi ganjaran pahala berganda.  Ada yang kesal kerana kurangnya amalan kebajikan yang telah dilakukan.  Malah ada juga yang gembira kerana sudah kembali bebas untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang pada siang hari Ramadhan. 
Ramadhan adalah makhluk Allah bernama masa.  Suka atau duka, Ramadhan yang tadinya datang tetap pergi dan tidak akan kembali.  Jikapun ia datang di tahun hadapan, tiada diketahui samada kita akan menjadi tetamunya lagi.  Sepertimana Ramadhan, kita juga makhluk Allah yang pasti pergi.  Justeru, selagi ada hayat, yang perlu dilakukan ialah menghidupkan roh Ramadhan di dalam diri agar menjadi hamba Allah yang diredhai. 
Menurut para ulama, Ramadhan adalah madrasah atau universiti yang bermatlamatkan TAQWA berdalilkan firman Allah S.W.T,
“Wahai orang-orang yang beriman!  Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang dahulu daripada kamu, supaya kamu berTAQWA.”  (Al-Baqarah 183)
Apakah yang dimaksudkan dengan TAQWA?
Menurut Ibnu Abbas R.A, mukmin yang berTAQWA ialah mukmin yang berhati-hati dari syirik, menjauhi syirik dan melakukan taat.
Al-Hasan al-Basri berkata, “Takut dan menghindari apa yang diharamkan Allah dan menunaikan apa yang diwajibkan oleh Allah.  Berwaspada dengan menjaga benar-benar perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Ketika Sayyidina Umar al-Khatthab R.A bertanya kepada Ubay bin Ka’ab tentang TAQWA, Ubay bertanya kembali,
“Apakah tuan tidak pernah berjalan di tempat yang penuh dengan duri?
Jawab Umar, “Ya.”
Ubay bertanya lagi, “Lalu tuan berbuat apa?”
Jawab Umar, “Aku sangat waspada dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri-duri itu.”
Lalu jawab Ubay, “Itulah TAQWA.”
Ibnul Mu’tazz berkata, “Tinggalkan semua dosa yang kecil mahupun yang besar, itulah TAQWA.  Dan berbuatlah seperti orang yang berjalan di tanah yang penuh duri, selalu waspada dari apa yang dilihatnya.  Jangan meremehkan dosa kecil.  Ingatlah gunung yang besar tersusun dari batu-batu kerikil yang kecil. ”
Athiyah as-Sa’di mengatakan, Rasulullah S.A.W bersabda,
“Seorang hamba tidak dapat mencapai darjat TAQWA sehingga dia meninggalkan apa yang tidak berdosa semata-mata kerana khawatir terjerumus dalam dosa.”  (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah – Hasan Gharib)
Seseorang yang ingin menjadi seorang jurutera perlu menjalani kursus di dalam bidang kejuruteraan di universiti yang diiktiraf.  Setelah selesai kursus selama 4-5 tahun, dia akan diberikan segulung ijazah sebagai tanda dia sudah selesai menjalani latihan untuk menjadi seorang jurutera.  Dengan memiliki ijazah kejuruteraan tersebut dia kini layak digelar seorang jurutera pelatih.  Untuk menjadi seorang jurutera bertauliah, dia perlu membuktikan di luar universiti bahawa dia mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat dan menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dan selesa.   
Demikian juga dengan universiti Ramadhan.  Setelah selesai sebulan, seorang mukmin akan keluar daripadanya dengan ijazah TAQWA.  Namun ijazah tersebut belum tentu meletakkan dia ke darjat TAQWA atau menjadikan dia seorang Muttaqin.  Dia perlu membuktikan kemampuan menjadi seorang hamba Allah yang melaksanakan semua perintahNya.  Dia juga akan sentiasa berwaspada di dalam setiap tindak-tanduknya agar tidak terjerumus ke dalam perkara maksiat dan dosa. 
Justeru, Ramadhan hanyalah suatu kursus pendek (intensive course) untuk menjadikan kita seorang yang berTAQWA.  Medan kita yang sebenar bermula dari Syawwal hinggalah ke saat Izrail mencabut nyawa daripada badan.  Jika di dalam Ramadhan kita telah dengan tekun menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan, kita wajib meneruskannya di luar Ramadhan.  Jika di dalam Ramadhan kita rajin melakukan amalan-amalan sunat seperti solat tarawikh, bersedekah, membaca Al Quran, solat berjamaah di masjid dan surau, qiamullail dan lain-lain, kita perlu meneruskan amalan-amalan tersebut di luar Ramadhan.  Jika di dalam Ramadhan kita mampu mengekang hawa nafsu dan tidak menyembah syaitan yang menjadi musuh kita, kita juga mampu melakukannya di luar Ramadhan.  Jika tidak, kita hanya layak dipanggil  MUTTAQIN PELATIH. 
Andai Syawwal kita tidak seghairah Ramadhan, perlu disemak kembali amalan-amalan yang telah dilakukan.  Apakah telah kita lakukan berlandaskan ilmu yang sahih dan niat yang ikhlas atau sekadar ikut-ikutan sahaja.
Untuk menjadi seorang jurutera yang baik, banyak cabang-cabang ilmu berkaitan kejuruteraan yang perlu dipelajari.  Amat malang bila ramai yang berfikir untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik, tidak perlu belajar ilmu berkaitan dengan agama. Solat tak perlu belajar, puasa tak perlu belajar, haji tak perlu belajar, baca Al Quran tak perlu belajar.   Berkata imam Al-Ghazali,
 “Ilmu tanpa Amal itu Gila, Amal tanpa Ilmu itu Sia-sia.”   
Sabda Rasulullah S.A.W,
“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama.”
Mungkinkah seseorang akan menjadi baik tanpa memiliki kefahaman agama dan mungkinkah ada kefahaman tanpa belajar? 


Benar Ramadhan telah pergi
Namun Masjid-masjid masih tegak untuk dimakmuri

Al Quran masih terbuka untuk dibaca dan diteladani
Fakir, miskin dan yatim masih menadah tangan untuk disantuni
Malam-malam masih sunyi untuk didiri
Dan Tuhanmu masih menanti untuk mengampuni



Cetusan Hati
04 Syawwal, 1432H.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...